Sunday, November 26, 2006

Pasar sabtu taman semarak

Mulai semalam, pasar sabtu Taman Semarak Binjai beroperasi. Tapak sebelah masjid Binjai yang dipilih JKKK tentunya tidak menjadi soal kepada mereka. Di Chukaipun, tapak pasar minggunya di sebelah masjid (Sultan Ahmad). Soal samada pengunjung dan peniaga akan menghormati waktu maghrib dan isyak haruslah difikirkan.
Para peniaga pastinya senang hati kerana satu lagi peluang yang diwujudkan untuk mereka mencari rezeki. Tapi kesan sosial yang akan timbul selepas ini haruslah ditangani dengan cekap oleh pihak-pihak yang menganjurkannya. Khabarnya, selain dari Majlis Perbandaran Kemaman dan JKKK, KRT Taman semarak juga terlibat.
Bolehkah kita berharap agar perpaduan di taman akan bertambah baik dengan wujudnya pasar sabtu ini?

Sunday, November 19, 2006

masjid rakyat


Mari derma untuk masjid yang dibina oleh rakyat sepenuhnya. Masjid Pasir Minal, Kemaman - kini 75% siap. Kalau di lihat, lazimnya ia memerlukan jutaan ringgit kalau dibina dengan belanja kerajaan. Yang nyata masjid yang sudah memakan belanja RM300 ribu itu, masih memerlukan RM100ribu lagi. Mari usahakan bersama..

Friday, November 10, 2006

gamat di batu buruk?

Beribu timun laut terdampar di Pantai Batu Buruk?
Beribu-ribu ekor timun laut yang hanya hidup di pulau-pulau, ditemui di kawasan pantai Batu Burok di sini hari ini. Fenomena itu sungguh aneh dan tidak pernah berlaku di pantai itu sebelum ini, menurut beberapa penduduk di sini.

Sehubungan itu, Kamaruddin menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan timun laut tersebut sehingga kajian bagi menentukan spesies hidupan laut itu selesai.
"Orang ramai boleh simpan kerana ia bukan haiwan yang dilindungi. Tetapi jangan makan kerana kita tidak tahu sama ada ia selamat atau sebaliknya," katanya.
Ditanya bagaimana timun laut itu boleh ditemui di kawasan tepi pantai itu, beliau berkata ia mungkin disebabkan oleh ombak besar atau pencemaran yang berlaku di laut.
Apabila ditanya sama ada ia mungkin tanda amaran akan berlakunya tsunami, beliau berkata, "Ssssaya tidak pasti".
Sementara itu, seorang peniaga di pantai tersebut, Mohd Razali Musa, 40, berkata sejak berniaga di kawasan itu sejak lebih 10 tahun lepas, dia tidak pernah menemui timun laut itu di pantai berkenaan.
"Pagi tadi, ada beberapa orang datang ke kedai saya minta plastik. Bila saya tanya buat apa, mereka kata ada gamat di tepi pantai. Saya pun pergi ke tepi pantai dan ambil gamat itu," katanya.
Fenomena luar biasa seperti itu pernah berlaku di kawasan pantai Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lepas apabila beratus-ratus ekor timun laut ditemui terdampar dan mati.
Di Port Dickson, timun laut yang ditemui itu dikenali sebagai "Beronok" oleh penduduk tempatan dan ia boleh dimakan. Sumber: BERNAMA.

Gamat atau Timun laut merupakan sejenis haiwan invertebrata (tanpa tulang belakang) laut yang meraih populariti dewasa ini di sebabkan khasiat dan nilai terapeutiknya yang mengkagumkan. Malah, kuasa penyembuhannya telah di agungkan dan di manfaatkan oleh nenek moyang kita sejak lebih 300 tahun dahulu.