Friday, December 29, 2006

Korban amalan yang disukai Allah

SOALAN: Boleh ustaz jelaskan hukum ibadah korban dan cara terbaik pengagihan dagingnya. Adakah boleh melakukan korban untuk arwah ibu bapa atau sanak saudara?
JAWAPAN: Hukum menjalankan ibadah korban adalah sunat muakkad dan bukannya wajib. Pandangan ini merupakan pendirian jumhur sahabat, seperti Abu Bakar, Umar, Bilal, Ibn Mas’ud, Said bin al-Musayyab, al-Qamah serta sebilangan ulama seperti Imam al-Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal, melainkan Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib bagi mereka yang mampu melakukannya.
Namun perlu diketahui bahawa sunat muakkad merupakan suatu tuntutan namun bukanlah wajib, justeru adalah afdal bagi mereka yang mampu mengerjakan ibadah korban pada hari raya Aidiladha, atau pada mana-mana hari tasyrik. Pandangan Imam al-Sayfie: “Aku tidak melonggarkan hukum korban bagi mereka yang mampu melakukannya, maksudnya makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. (Shams al-Din al-Syarbaini, al-Iqna’, jld:2, hlm: 565).
Firman Allah s.w.t: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban. (al-Kawthar: 2 ).
Hadis Rasulullah s.a.w daripada Aisyah r.a.h, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada satu amalanpun yang lebih disukai oleh Allah pada hari raya korban melainkan menumpahkan darah binatang dengan menyembelihnya, sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari akhirat bertemu tuannya (orang yang mengorbankannya) dengan tanduknya, kulitnya serta bulunya, dan sesungguhnya kebajikan (pahala) korban itu akan ditetapkan Allah kepadanya sebelum darah korban itu menitik ke bumi, oleh itu sucikanlah diri kamu dengan melakukan ibadah korban. (Riwayat Ibn Majah dan al-Tarmidzi ).
Pada pandangan al-Syawkani: Bagi mereka yang mampu adalah lebih baik baginya melakukan ibadah korban daripada bersedekah dengan duit tersebut, ini kerana hadis Rasulullah s.a.w menyebut tiada amalan yang paling disukai oleh Allah pada hari raya korban melainkan dia melakukan korban. (al-Syawkani, Nail al-Awthar: jld:8, hlm:618)
Adalah disunatkan menyembelih binatang korban oleh tuannya sendiri (orang yang melakukan ibadah korban). Namun timbul di sana beberapa masalah di antaranya binatang warna apakah yang afdal dikorbankan?.Sepanjang pembacaan saya dalam kitab-kitab muktabar dalam fikah dan hadis belum ada nas yang ditemui mengenai warna yang disaran dan dikira afdal warna tertentu. Kalau ada mungkin riwayatnya berpaksi kepada israiliyyat yang di bawa masuk daripada ahli kitab. Wallahu a’lam.
Apa yang perlu diberi perhatian dalam ibadah korban ialah maqsadnya iaitu matlamatnya, ini jelas dalam firman Allah: Daging dan darah binatang korban itu sama sekali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. (al-Haj: 37).
Jelas dalam ayat ini yang dilihat dan dinilai oleh Allah ialah keikhlasan seseorang di dalam mengabdikan diri kepada Allah melalui ibadah korban. Falsafahnya ialah dengan mengalirnya darah binatang di atas bumi terhakis jugalah hendaknya sifat-sifat mazmumah dari diri seseorang.
Empat perkara yang perlu diberi perhatian sebelum menyembelih binatang; 1- Tidak buta atau cacat penglihatan, 2- Tidak tempang sehingga mencacatkan pengerakan binatang korban, 3- Tidak sakit/ binatang yang berpenyakit, 4- Tidak terlalu kurus.
Ada enam perkara sunat yang perlu dipelihara ketika melakukan penyembelihan; 1- Menyebut nama Allah, 2- Selawat dan salam ke atas Rasulullah, 3- Menghadap kiblat, 4- Takbir tiga kali, 5- Doa supaya ibadat korban diterima Allah s.w.t, sekurang-kurang berdoa: “Ya Allah sesungguhnya binatang yang disembelih ini daripada engkau dan kami kembalikan kepada engkau, maka terimalah ia daripada kami.” Dan ditambah lagi dengan tiga perkara: 6- Menajamkan alat penyembelih, 7- Alat penyembelih yang sesuai serta boleh memutuskan urat pernafasan dan saluran makanan, 8- Membaringkan binatang sembelihan pada lambung kirinya, 9- Ikat kakinya.
Pembahagian dagingnya pula adalah lebih baik di bahagikan kepada tiga bahagian: sepertiga dari daging korban disedekahkan, sepertiga yang lain dimasak dan diberi makan dan sepertiga yang lain diambil oleh orang yang melakukan korban.
Namun adalah afdal jika dapat disedekahkan keseluruhannya dan orang yang melakukan korban itu mengambil sedikit untuk makan dengan ahli keluarganya. Adalah ditegah dan haram hukumnya menjual beli dengan daging korban atau apa-apa sahaja daripada binatang korban.
Firman Allah s.w.t: Maka makanlah kamu daripada daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah dan orang yang fakir miskin. (al-Haj: 28).
Setiap bahagian daripada binatang korban itu hendaklah dimanfaatkan, termasuklah kulitnya.
Mengenai bolehkah membuat korban untuk arwah keluarga, jawapannya boleh. Ini berdasarkan kepada pendapat Dr. Yusof al-Qardawi yang dipetik menyebut: Harus melakukan ibadah korban bagi arwah atau untuk si mati, sekiranya suasana masyarakat masih memerlukan daging.” (lihat; fatwa al-Qardawi di laman Islamonline.net)
Pada hari ini ada tempat-tempat yang tertentu masih memerlukan daging, justeru tidak salah jika seseorang ingin menyedekahkan kepada ibubapanya atau sanak saudaranya yang sudah tiada sebagai satu amalan kebajikan yang kita harapkan mereka di alam barzakh mendapat manfaatnya.