Friday, October 20, 2006

selamat menyambut idulfitri

Selamat menyambut idulfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Sambil itu hayatilah perjuangan membebaskan ALQUDS.

menanti saat dihalau

Tentera US kini menanti saat dihalau dari Iraq..
bagai yang dialaminya di Vietnam

Aspek pengawalan sistem matawang Dinar

Sat Sep 23, 06 04:04:43 PM Oleh Dr Rosli Yaakop

Muqaddimah
Asas sistem mata wang dalam Islam ialah sistem dwi-logam - emas (Dinar Emas) dan perak (Dirham). Sistem inilah yang diamalkan di dalam Daulah Islamiah bermula dari zaman Rasulallah Salallahu Alaihi Wassalam sehinggalah kepada berakhirnya Daulah Othmaniah pada awal abad ke-20 Masihi (1924).
Setelah dilupakan kira-kira tiga suku abad, kini sudah ada gerakan untuk menziarahi semula sistem ini dengan harapan ianya dapat dihidupkan kembali di negara-negara Islam.
Memang diakui bahawa sistem kewangan dunia hari ini tidak stabil. Sistem kadar pertukaran terapong atau dikenali juga sebagai sistem kadar pertukaran anjal terdedah kepada serangan spekulasi.
Rakyat negara-negara Asia Tenggara khasnya Thailand, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Singapura tentunya tidak dapat melupakan serangan spekulasi ke atas mata wang mereka pada pertengahan tahun 1997 yang telah membawa kepada krisis kewangan yang terbesar di dalam sejarah moden negara-negara ini.
Krisis ini telah memiskinkan negara-negara berkenaan dengan nilai pertukaran mata wang masing-masing berbanding dengan Dolar Amerika Syarikat mengalami susut nilai sebanyak antara 30-60%, pendapatan negara dan pendapatan per kapita merosot, pasaran modal musnah dan inflasi memuncak. Negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina terpaksa berhutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Proses pemulihan ekonomi memakan masa yang cukup panjang. Nilai pertukaran ringgit Malaysia, misalnya, yang telah jatuh dari sekitar USD1.00 = RM2.75 sebelum krisis kepada RM3.80 selepas krisis masih tidak mampu dikembalikan kepada kadar pertukaran asalnya dan mungkin tidak akan kembali ke tahap itu dalam tempoh ke hadapan yang boleh diduga. Amatlah tidak munasabah apabila ekonomi sudah bekembang pesat nilai matawang menjadi semakin murah.
Walaupun disedari bahawa di bawah sistem kadar pertukaran terapong yang diamalkan sekarang tiada negara yang merasa selamat dari serangan spekulasi, negara-negara di dunia tetap mengamalkan sistem ini kerana belum muncul lagi satu sistem alternatif yang lebih baik. Kemunculan gerakan 'kembali kepada Dinar Emas' sejak akhir-akhir ini berpotensi untuk menawarkan kepada dunia satu sistem kewangan yang lebih stabil.
Namun, kemunculan gagasan ini diperhatikan oleh masyarakat dunia khasnya dunia Barat dan kuasa-kuasa besar ekonomi dengan penuh kesangsian kerana ia dianggap sebagai satu unsur yang bersepadu dengan kemunculan semula fundamentalisme Islam. Ironinya, dunia Barat tahu bahawa sistem matawang dinar emas mampu membawa kestabilan kepada sistem kewangan dan ekonomi dunia - sejarahnya yang panjang telah membuktikan kebenaran ini - namun, realiti dan percaturan politik antarabangsa memenangkan pertimbangan bahawa sesuatu yang Islamik harus diletakkan di tempat duduk belakang.
Gerakan "kembali kepada Dinar Emas" diasaskan - harus diiktiraf - oleh Profesor Omar Ibrahim Vadillo, orang yang mengasaskan Pertubuhan Murabitun Antarabangsa di Afrika Selatan seawal tahun 1983 lagi. Gerakan ini amat dikenali di Eropah tetapi di negara-negara Islam ianya kurang terserlah.
Setelah berkali-kali beliau datang ke Malaysia dan menghuraikan mengenai sistem ini kepada pemimpin tertinggi Malaysia, akhirnya idea ini mendapat sokongan Tun Mahathir Mohamad (kini bekas Perdana Menteri Malaysia) dan Tun Mahathir telah mempromosikannya di kalangan negara-negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mulai tahun 2002.
Berita bahawa Malaysia akan mula menggunakan Dinar Emas Islam dalam penyelesaian pembayaran dua hala dengan rakan-rakan dagangnya mulai pertengahan tahun 2003 tersebar luas di seluruh dunia. Walau bagaimanapun berita sama ada idea ini telah terlaksana belum lagi kedengaran. Sebaliknya, apa yang diketahui ialah ada tanda-tanda kurang minat di pihak pengganti Tun Mahathir untuk terus mempelopori dan mengembangkan gagasan ini.
Komen yang biasa oleh pemerhati-pemerhati ialah: 'Mahathir announced that Malaysia was to start using the dinar in mid-2003, but when in 2003 Abdullah Ahmad Badawi replaced him as Prime Minister of Malaysia, his idea stalled.' (lihat 'Islamic Dinar' di dalam Wikipedia, the Free Encyclopedia).
Malah, mulai awal tahun 2004 Malaysia telah kembali kepada sistem kadar pertukaran terapung menggantikan sistem kadar pertukaran dikekang yang telah diamalkan sejak tahun 1998 sebagai langkah menepis serangan spekulasi. Ini sekali lagi mendedahkan Ringgit Malaysia kepada serangan spekulasi.
Ini boleh dianggap satu langkah ke belakang dalam usaha untuk melindunigi (to shield) ringgit Malaysia dari serangan spekulasi yang mungkin sekali lagi boleh memiskinkan kita seperti mana yang berlaku dalam tahun 1997-98. Spekulator boleh memusnahakan ekonomi dalam masa yang singkat (overnight).
Mata wang di dalam Islam dikenali sebagai 'wang komoditi' (commodity money) kerana nilai mukanya (its face value) sama dengan nilai intrinsik (its intrinsic value), iaitu, nilainya sebagai komoditi. Ini berbeza dengan wang kertas yang dipakai hari ini - nilai muka wang kertas biasanya jauh lebih besar daripada nilai kertas itu sendiri. Dari segi hukum, Islam menerima dan mengamalkan wang komoditi sahaja. Nilai wang komoditi ini ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran bagi komoditi berkenaan. Komoditi yang ditetapkan dalam Islam sebagai wang ialah emas dan perak.

Sistem Penyelesaian Pembayaran Berasaskan Dinar Emas
Dalam tahun 2002, dua persidangan penting berlangsung di Malaysia melibatkan perwakilan daripada Pertubuhan Persidangan Islam atau Organisation of Islamic conference (OIC). Persidangan pertama mengenai 'Stable and Just Global Monetary Systems' (Sistem Kewangan Sejagat yang Stabil dan Adil) diadakan pada bulan Ogos dan disusuli dengan persidangan mengenai 'The Gold Dinar in Multilateral Trade' (Dinar Emas Dalam Perdagangan Pelbagai Hala) dalam bulan Oktober.
Dalam persidangan pertama telah diumumkan bahawa Dinar Emas akan digunakan sebagai alat penyelesaian pembayaran dua hala antara Malaysia dengan negara-negara Islam yang bersetuju dengan Malaysia untuk menggunakan sistem penyelesaian pembayaran dua hala ini mulai pertengahan tahun 2003. Matalamat jangka panjang ialah untuk menjadikan Dinar Emas sebagai alat penyelesaian pembayaran pelbagai hala di kalangan negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam.
Di peringkat kerajaan, gagasan untuk 'Pulang kepada Dinar Emas' ini dipelopori oleh Tun Mahathir Mohamad yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Beliau bersara pada bulan November 2003 setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Namun, adalah dipercayai bahawa 'orang teknikal' di belakang gagasan ini ialah Tan Sri Nor Mohamed Yackop, Menteri Kewangan Kedua dalam kabinet Perdan Menteri Abdullah Badawi kini.
Ini memandangkan bahawa gagasan ini dibina di sekitar perjanjian pembayaran dua hala dan pelbagai hala yang beliau mulakan pada akhir tahun 1980an semasa bertugas di Bank Negara Malaysia. Matawang penyelesaian di dalam perjanjian berkenaan ialah Dolar Amerika Syarikat (USD). Dalam gagasan terkini 'Kembali kepada Dinar Emas' dicadangkan Dinar Emas dijadikan sebagai matawang penyelesaian menggantikan USD.

Apakah perkembangan terkini gagasan 'Kembali kepada Dinar Emas' ini?
Jude Wanniski, seorang pemerhati perkembangan pasaran kewangan dan pakar 'supply-side economics' telah membuat kenyataan berikut mengenai perkembangan gagasan 'Kembali kepada Dinar Emas' ini: "But after a few speeches and press releases on this subject, he (Tun Mahathir Mohamad) has disappeared, practically dropping out of sight." (lihat 'Where Is That Gold Dinar?' oleh Jude Wanniski di dalam Aljazeera.net, 24 November 2004). Kenyataan ini meringkaskan status gagasan, iaitu, tiada kesinambungan, tiada minat untuk mengembangkannya dan seolah-seolah telah dilupakan sama sekali oleh pemimpin baru Malaysia.
Gagasan Tun Mahathir sebenarnya belum sampai ke tahap untuk mengembalikan Dinar Emas sebagai matawang yang berfungsi sebagai alat 'perantaraan pertukaran' (a medium of exchange) tetapi hanyalah sebagai unit akaun untuk penyelesaian pembayaran antarabangsa di antara bank-bank pusat (central bank) Negara-negara OIC yang berdagang antara satu sama lain.
Modus operandi daripada penggunaan Dinar Emas ini dikemukakan oleh Nor Mohamed Yackop pada persidangan dalam bulan Ogos 2002 dengan mengambil perdagangan dua hala di antara Arab Saudi dan Malaysia sebagai contoh seperti berikut: Pengeksport Malaysia akan di bayar di dalam Ringgit Malaysia (RM) oleh Bank Negara Malaysia bila jatuh tarikh pembayaran untuk eksport berkenaan. Pada masa yang sama pengimport juga akan membayar Bank Negara nilai import berkenaan dalam nilai RM (RM equivalent). Bank Pusat Arab Saudi juga menggunakan mekanisma yang sama.
Katalah penyelesaian pembayaran dibuat tiap-tiap tiga bulan sekali. Pada tarikh jatuh kitaran tiga bulan ini, jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi bermjulah 2 juta Dinar Emas dan jumlah eksport Arab Saudi ke Malaysia pula berjumlah RM1.8 Dinar. Ini bermakna, dalam kitaran 3 bulan ini Arab Saudi mengalami defisit perdagangan dengan Malaysia sebanyak 0.2 juta Dinar Emas. Maka. Bank Pusat Arab Saudi kena bayar Bank Pusat Malaysia sebanyak 0.2 juta Dinar Emas.

Bagaimanakah penyelesaian pembayaran boleh dibuat?
Katakan Bank Pusat Arab Saudi ada emas di dalam Custodian's Accaount miliknya dengan Bank of England. Bank Pusat Malaysia juga memiliki akaun yang serupa di Bank yang sama. Penyelesaian pembayaran terlaksana bilamana Bank Pusat Saudi memindahkan emas seberat 0.2 juta auns dari Custodian?s Account milikinya di Bank of England kepada Custodian's Account milik Bank Pusat Malaysia di Bank yang sama. Kalau Malaysia mengalami defisit, ia akan memindahkan Dinar Emas ke akaun Bank Pusat Arab Saudi.
Perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam sistem penyelesaian pembayaran ini ialah hanya jumlah yang relatif kecil Dinar Emas diperlukan untuk menyokong jumlah nilai perdagangan yang relatif besar: 0.2 juta auns emas (bernilai 0.2 juta Dinar Emas) menyokong jumlah perdagangan sebesar 3.8 Dinar Emas, iaitu, 19 kali ganda.
Idea Tun Mahathir Mohamad sebenarnya merupakan satu cadangan untuk kembali kepada Sistem Bretton Woods atau dikenali juga sebagai sistem piawaian emas. Sistem Bretton Woods diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua hasil pertemuan Negara-negara Bersekutu di Bretton Woods, Amerika Syarikat. Mereka bersetuju mengekang kadar pertukaran matawang antarabangsa kepada emas bagi memudahkan perdagangan antarabangsa. Nilai dolar Amerika misalnya, ditetapkan pada USD1.00 = 1/35 auns emas. Ini bermakna sesiapa sahaja yang menyerahkan USD1.00 kepada Federal Reserve dan mahukan emas, ia akan diberi emas seberat 1/35 auns. Juga emas akan bertukar tangan di antara negara-negara dalam 'book entries' dan emas fizikal.
Walau bagaimanapun, sistem ini telah dimusnahkan oleh Presiden Nixon mulai 15 Ogos 1971 bila mana nilai pertukaran USD diapongkan, iaitu, membiarkan nilai pertukaran ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan tanpa sandaran emas. Hari ini tiada lagi matawang di dunia yang disokong oleh emas (gold-back currencies).
Apa yang dipanggil sebagai regim kadar pertukaran anjal (flexible exchange rate regime) ini terus diamalkan sehingga hari ini. George Soros dalam penelitiannya mendapati bahawa 'freely floating exchange rates are cumulatively destabilising.' Beliau merumuskan: 'Exchange rate misalignments have become a major source of disruption for the world economy. They make it unsafe to make long-term investments, they endanger the value of investments already made, and they are at the root of protectionist sentiment in the United States. The market mechanism fails to bring currencies back into alignment. On the contrary, speculation tends to exaggerate currency moves. As we have seen, the system of freely floating currencies is cumulatively distabilising.' (lihat George Soros, 'The Alchemy of Finance,' John Wiley and Son, New York, 1987). Beliau telah mengambil manfaat dari ketidakstabilan ini dengan berspekulasi di dalam pasaran matawang antarabangsa dan telah berhasil meraih keuntungan besar.
Apa penyelesaiannya? Goerge Soros menawarkan beberapa penyelesaian termasuklah mengamalkan polisi 'target zones' (menentukan jeda pergerakan kadar pertukaran), kembali kepada sistem kadar pertukaran tetap (fixed exchange rate system) tanpa atau dengan piawaian emas, mewujudkan satu matawang antarabangsa dan pulang kepada emas kerana kata beliau: 'Gold has served as a stabilizer throughout history and it may play that role again in one form or another...' (lihat 'Alchemy of Finance').
Jelas bahawa di sana ada sokongan kepada gagasan 'kembali kepada Dinar Emas' sebagai jalan keluar kepada permasalahan yang menghantui sistem kewangan dunia hari ini. Namun, IMF melarang mana-mana negara ahlinya dari menggunakan emas sebagai matawang.

Apa Dia Dinar Emas Islam?
Gerakan 'kembali kepada Dinar Emas' memilih untuk kembali mengguna dan mengekalkan piawaian yang telah ditetapkan 1400 tahun dahulu oleh Omar Al-Khattab, Khalifah Islam Kedua (632 Masihi) seperti berikut:
* Dinar emas Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 4.25 gram emas 22 karat (917) bagi satu Dinar.
* Dirham Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 3.0 gram perak tulin bagi satu Dirham.
* Syedina Omar Al Khattab juga menetapkam bahawa berat 7 Dinar bersamaan berat 10 Dirham. Disebut juga berat 10 Dirham bersamaan berat 7 mithqal emas (berat Dinar). Ini bermakna kadar pertukaran di antara Dirham dan Dinar emas ialah satu Dirham bersamaan 0.7 Dinar.
* Berat satu mithqal emas bersamaan 72 butir barley. Maka berat satu Dirham bersamaan 50.4 butir barley.
* Harga Dinar Emas dan Dirham ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
Piawaian ini dikenali sebagai 'Piawaian Omar Al Khattab' dan piawaian inilah yang berkuatkuasa dari zaman beliau sampailah kepada Kahlifah terakhir kerajaan Othmaniah (1924).

Kegunaan Dinar Emas Islam
Dalam Daulah Islamiah Dinar Emas adalah alat perantaraan pertukaran (a medium of exchange). Ia adalah wang (money) dan ia adalah matawang (currency). Wang digunakan untuk membuat bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dibeli. Wang diteirma sebagai bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dijual. Wang yang digunakan untuk jual-beli dikenali sebagai 'legal tender.'
Selain dari berfungsi sebagai alat perantaraan pertukaran, wang juga berfungsi sebagai alat pengukur nilai (measurement of value), alat bayaran tertangguh (instrument of deferred payment), iaitu, alat pembayaran hutang, unit akaun (unit of account) dan alat penyimpan nilai (store of value). Kepada fungsi ini boleh ditambah dua lagi fungsi, iaitu, alat spekulasi dan alat empayar (tool of empire).
Dalam Daulah Islamiah, Dinar Emas juga adalah alat pembayaran zakat, mahar perkahwinan dan alat pembayaran denda berkaitan kesalahan jenayah di bawah hukum-hukum Islam seperti hudud dan lain-lain. Dengan ketiadaan Dinar Emas, semua ini diselesaikan dengan wang kertas dan di Malaysia tentulah dengan ringgit Malaysia. Untuk menentukan semua penyelesaian ini memenuhi ciri-ciri dan tuntutan hukum dan Syariat Islam, maka 'kembali kepada penggunaan matawang Dinar Emas Islam' adalah satu gerakan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Gagasan yang hendak dilaksanakan oleh Tun Mahathir ialah menjadikan Dinar Emas sebagai alat penyelesaian pembayaran perdagangan antarabangsa bagi menggantikan dolar Amerika Syarikat. Ini tidak termasuk gagasan untuk menggunakan Dinar Emas sebagai wang dan matawang bagi menggantikan wang kertas dan koin, iaitu, dalam kontek Malaysia, wang kertas ringgit Malaysia yang dipakai sekarang. Tiada tanda-tanda yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia akan menggunakan Dinar Emas dan Dirham bagi menggantikan ringgit Malaysia. Lagi pun di sana adalah larangan oleh Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF) yang tidak membenarkan mana-mana negara di dunia (yang menjadi ahli IMF) menggunakan emas sebagi matawang. Mungkin inilah yang menjadi halangan besar untuk negara-negara Islam menghidupkan kembali sistem Dinar Emas Islam.
Perlu diingat bahawa hanya satu matawang yang sah diperlakukan (legal tender) di Malaysia, iaitu, ringgit Malaysia. Lain-lain matawang ? semua matawang selain daripada ringgit Malaysia ? tidak sah diperlakukan dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai perataraan jual-beli dalam mana-mana wilayah Malaysia. Kalau ada mana-mana pihak menggunakan Dinar Emas dan Dirham di Malaysia sebagai alat pertukaran (medium of exchange) maka perbuatan itu menyalahi undang-undang negara Malaysia.
Jika kita memiliki Dinar Emas, maka Dinar Emas itu hendaklah ditukarkan kepada ringgit Malaysia dahulu dan ringgit itulah yang digunakan untuk berjual-beli. Kadar pertukaran di antara Dinar Emas ialah harga semasa (spot price) emas di dalam pasaran emas, tempatan atau antarabangsa. Kalau piawaian Omar Al-Khattab digunakan maka satu Dinar Emas beratnya bersamaan 4.25 gram. Kalau pada hari ini (20 September 2006) harga emas di Pasaran Logam London bersamaan RM100.00 per gram, maka kadar pertukaran 1 Dinar Emas bersamaan RM425.00. Kadar pertukaran ini akan berubah-ubah mengikut harga pasaran emas.
Ada saranan supaya dibuat piawaian baru di mana satu Dinar Emas bersamaan berat satu auns emas 24 karat memandangkan bahawa harga emas antarabangsa hari ini disebut dalam USD per troy auns emas 24 karat. Ini akan memudahkan pengiraan kadar pertukaran di antara Dinar Emas dengan mana-mana matawang di dunia. Misalnya, kalau pada hari ini (20 September 2006) harga se auns emas ialah USD300.00 (spot price), maka satu Dinar Emas bersamaan USD300.00. Kadar pertukaran Dinar Emas dengan semua matawang lain boleh dikira mengikut kadar pertukaran semasa (spot price) atas 'real-time basis.'
Sebenarnya menentukan berat Dinar Emas dan Dirham dalam gram atau auns merupakan pilihan. Proses conversion dari auns ke gram dan sebalik sudah cukup untuk menyelesaiakan perkiraan seperti berikut:
* Satu Dinar Emas = 4.25 gram 22 karat emas.* Satu kilogram emas = 32.15 troy auns 24 karat emas.* Atau 1000 gram emas = 32.15 troy auns 24 karat emas.* Maka Satu gram emas = 0.03215 troy auns 24 karat emas.* Maka Satu Dinar Emas = 4.25 X 0.917 (X 0.03215) = 0.1253 troy auns.* Kalau harga spot emas = 438.9 euro per auns,* Maka harga Satu Dinar Emas = 438.9 X 0.1253 = 55 euro* Atau, kadar conversion = 483.9/55 = 7.98 Dinar/auns.
Formula untuk mengira conversion rate adalah seperti berikut:
* (31.1034768 g/oz)/((4.25g/dinar)(22k/24k)) = 7.98 dinar/oz.
Dalam hukum Islam tiada konsep wang kertas dalam pengertian wang kertas yang kita ketahui hari ini, iaitu, wang kertas yang merupakan surat hutang atau surat janji mahu bayar hutang atau surat IOU. Oleh yang demikian, pengertian sebenar kepada 'menghidupkan semula sistem wang Dinar Emas Islam' ialah menggantikan wang kertas dan koin yang beredar di dalam ekonomi sekarang dengan wang Dinar Emas dan wang Dirham yang benar-benar dibuat dari, masing-masing, emas dan perak. Kalau hari ini kita membawa wang kertas ringgit Malaysia dan koin di dalam saku dan dompet kita, maka dengan hidupnya kembali matawang Dinar Emas Islam, yang kita bawa dalam saku dan dompet kita ialah emas dan perak secara fizikal.
Wang simpanan kita di dalam akaun bank kita pula benar-benar emas dan perak. Kalau kita ada baki 1000 Dinar Emas di dalam akaun kita di bank maka di dalam peti kebal bank itu ada emas seberat 4250 gram di bawah nama kita. Bila kita mengeluarkan simpanan bakinya akan turun dan bila kita tambah simpanan, bakinya akan naik.

Sudahkah ada mana-mana negara Islam yang menggunakan Dinar Emas Islam sebagai matawang menggantikan wang kertas?
Belum ada mana-mana negara Islam yang mengamalkan sistem matawang seperti ini setakat hari ini. Saranan Malaysia untuk menyelesaikan pembayaran perdagangan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan kongsi perdagangannya di kalangan negara ahli OIC belum sampai ke tahap mewujudkan Dinar Emas dan Dirham Perak Islam yang beredar dalam ekonomi sebagai legal tender atau alat perantaraan pertukaran. Tahap inilah dilarang oleh IMF.
Dinar Emas Islam telah dilancarkan di Amiriyyah Arab Bersatu (UAE) pada 7 November 2001 oleh Islamic Mint bergabung tenaga dengan Thomas Cook Rostamani Exchange Company dan Dubai Islamic Bank. Setakat yang diketahui, inilah Dinar Emas Islam yang pertama dilancarkan dalam sejarah dunia moden melalui saluran yang diiktiraf secara rasmi.
Dinar Emas Islam ini boleh diperolehi dari cawangan-cawangan Thomas Cook Rostamani Exchange Company dan Dubai Islamic Bank di kesemua 7 negara Amiriyyah Arab Bersatu.
Sejauh yang diketahui Dinar Emas Islam yang dilancarkan di UAE itu bukanlah wang tetapi hanyalah sebagai alat pelaburan. Juga ia dilihat sebagai comemorative coin dan bernilai kepada sesiapa jua yang hobinya menyimpan koin termasuk koin emas dan perak. Bagaimana pun pengenalan semula Dinar emas Islam ini sudah cukup bermakna kalau ada pihak yang akan menggunakannya bagi membayar zakat dan mahar perkahwinan.
Printis gerakan 'kembali ke Dinar Emas Islam,' Umar Ibrahim Vadillo telah menubuhkan syarikat urusniaga Dinar Emas bernama e-dinar Ltd. berpengkalan di Labuan. Syarikat e-dinar ialah satu sistem pertukaran yang membolehkan pemindahan emas dan perak secara elektronik di antara akaun. Setiap akaun ada baki dinar emas dan dirham secara fizikal. Kalau baki dalam akaun ialah 1000 Dinar Emas Islam maka di dalam bilik simpanan selamat disimpan emas seberat yang bersamaan dengan 1000 Dinar. Kalau satu Dinar beratnya 4.25 gram, maka di dalam peti selamat ada disimpan 4250 gram emas.

Dinar Emas Kelantan
Ada maklumat yang menyatakan Dinar Emas digunakan secara persendirian (private) di lebih 22 buah negara. Dinar Emas sekarang ditempa (minted) di empat negara. Juga di sana sudah wujud perniagaan jual beli Dinar Emas dan Dirham melalui internet. Oleh itu pelancaran Dinar Emas Kelantan selaras dengan perkembangan ini.
Kelantan mengikut bukan memimpin. Apa yang diumumkan oleh YB Dato' Paduka Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat kelantan ialah untuk menawarkan Dinar Emas dan Dirham sebagai alat tabungan dan pelaburan, bukan, sebagai legal tender. Reaksi gelabah dan negatif Perdana Menteri Malaysia amat tidak diduga. Usaha ini harus dilihat sebagai langkah untuk menjelmakan impian Tun Mahathir Mohamad ke alam nyata.
Penerbitan Dinar Emas Kelantan bukan sebagai alat perantaraan pertukaran (medium of exchange). Ia tidak diterima untuk membayar barang-barang yang kita beli di pasar atau di kedai. Juga tiada penjual yang boleh menerima bayaran dalam bentuk Dinar Emas Kelantan bagi barangan yang dijual. Sesiapa yang memiliki Dinar Emas Kelantan maka hendak ianya ditukarkan dahulu kepada ringgit Malaysia mengikut harga emas semasa (spot price) berdasarkan formula yang diterima pakai apabila hendak berjual beli.
Maka ringgit itulah yang digunakan untuk membeli barangan dan diterima apabila menjual barangan. Hanya ringgit Malaysia yang diiktiraf sebagi legal tender di dalam wilayah Malaysia. Matawang lain tidak sah digunakan sebagai alat pertukaran.
Maka, Dinar Emas Kelantan bolehlah digunakan sebagai alat simpanan (savings instrument), membayar zakat, membayar mahar perkahwinan dan sebagai hadiah (untuk ulang tahun perkahwinan, hari jadi, kakitangan cemerlang dan sebagainya). Dalam Daulah Islamiah, ia boleh digunakan untuk membayar denda di bawah pelbagai hukum Islam. Disini dijelaskan dua keguanaan utama.

* Alat Simpanan
Simpanan atau tabungan adalah lebihan pendapatan di atas perbelanjaan. Kalau pendapatan kita RM10,000 sebulan dan kita berbelanja RM9,000 sebulan maka kita ada lebihan sebanyak R1,000. Bagaimanakah hendak menyimpan lebihan pendapatan ini?
Banyak pilihan. Kita boleh menyimpan di bawah bantal tanpa mendapat apa-apa pulangan malah terhakis pula nilai atau kuasa belinya oleh inflasi dan bayaran zakat (kalau cukup syarat-syaratnya), mendepositkan di dalam bank dalam bentuk akaun simpanan, akaun deposit berjangka, dalam unit amanah saham dan pelbagai lagi bentuk pelaburan yang menawarkan konfigurasi risk-reward yang berbeza.
Bila wujud Dinar Emas Islam, bolehlah wang lebihan RM1,000 itu dilaburkan di dalam Dinar Emas. Risikonya ialah harga emas boleh naik atau turun atau kekal, samalah seperti melabur dalam komoditi-komoditi yang lain. Bukti empiris menunjukkan bahawa harga emas cukup stabil dalam jangka panjang dan bebas dari turun naik yang ekstrim dalam jangka pendek dan sederhana. Ia cukup adil sebagi pelindung kuasa beli.

* Membayar Zakat
Dari segi hukum, zakat hanya boleh dibayar dalam "tangible merchandise." Dari segi sejarah Daulah Islamiah, zakat sentiasa dibayar dalam Dinar Emas dan Dirham. Kerajaan Othmaniah sehinggalah kepada Khalifah ynag terakhir tidak membenarkan zakat dibayar dengan wang kertas. Fatwa Sheikh Mohammad Alish (1802-1881), Qadi Besar Mazhab Maliki selalu disebut dalam hal ini.
Menurut beliau kalau kita membayar zakat dengan wang kertas (fulus) maka hanya nilainya sebagai merchandise ('ain), iaitu, nilai kertas itu sebagai kertas yang diambil kira. Nilai nominal wang kertas itu tidak relevan sebagai bayaran zakat.
Oleh itu, dengan adanya Dinar Emas Kelantan, bolehlah zakat dibayar dengan Dinar Emas dan Dirham perak. Kesimpulan
Dunia Islam dengan penduduknya melebihi 1.3 bilion umat nampaknya mahu kembali kepada sistem matawang dwi-logam hasil dari kesedaran bahawa khazanah umat Islam dari hasil penjualan minyak khasnya, yang tersimpan di institusi kewangan barat dalam bentuk wang kertas IOU boleh, pada bila-bila masa, bertukar menjadi debu. Juga di bawah sistem kadar pertukaran terapong yang diamalkan dunia sekarang, serangan spekulasi ke atas mata wang seperti yang telah berlaku dalam tahun 1997-98 boleh memiskinkan mana-mana negara.
Oleh itu gerakan 'kembali kepada Dinar Emas Islam' patut dilihat secara positif terutamanya bila dilihat di sana ada bukti yang jelas - empiris dan sejarah - bahawa harga kedua logam ini stabil dalam jangka panjang dan turun naiknya tidak ekstrim dalam jangka pendek dan sederhana.
Bermula dengan mengeluarkan Dinar Emas Islam dan Dirham sebagai alat pelaburan adalah satu langkah yang strategik dalam usaha menyelamatkan nilai harta dari dihakis inflasi dan devaluasi matawang.
Dhaka,17 September 2006

Wednesday, October 11, 2006

nuzul quran, mengapa cuti?

Semalam sebahagian umat islam malaysia diberi cuti, kecuali di negeri tertentu. TV3 buat tinjauan rambang - kebanyakan tak tahu apa dia 'nuzul quran'.
Pengiktirafan diberi sedemikian rupa pada alquran (cuti umum) tetapi apakah ajarannya turut diiktiraf sepenuhnya?
Kesempatan cuti diguna untuk keluar shopping persiapan syawal, bukannya untuk mengkaji/ mengaji dan menginsafi tuntutan alquran.

Monday, October 09, 2006

mataharipun bagai berpuasa

Di KL khabarnya jerebu teruk. Di Kemaman (Taman Semarak Binjai) matahari tampil suram tapi tetap indah, bagaikan turut berpuasa..

Tuesday, October 03, 2006

Hamas-Hizbullah pecah tembok mazhab

Wed Sep 27, 06 09:18:25 AM
Oleh Mohd Rashidi Hassan
BARU-BARU ini Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ditemani Ustaz Idris Ahmad dan Dtao' Dr Mahfudz Mohamed berkunjung ke Iran, Syria dan Lubnan. Mereka mewakili PAS untuk menghadiri persidangan Taqrib di Iran, melawat dan menemui pemimpin Hizbullah di Lubnan serta bertemu dengan pemimpin Hamas di Syria. Ikuti temubual Tuan Guru Abdul Hadi dengan Mohd Rashidi Hassan di pejabatnya di Kuala Lumpur, 13 September.

HARAKAH: Boleh Tuan Guru maklumkan tentang lawatan ke Iran, Syria dan Lubnan baru-baru ini?
TUAN GURU ABD HADI: Di Iran menghadiri Muktamar Majma' Taqrib yang diadakan setiap tahun. Tahun ini bertemakan 'Kedudukan Umat Islam di Negara-negara Bukan Islam; Permasalahan, Penyelesaian dan Kewajipan. Muktamar dihadiri wakil-wakil pemimpin Islam sedunia dari benua Asia, Eropah, Australia, Afrika sehingga Amerika Utara dan Amerika Latin. Jumlahnya ratusan orang.

Saya berada tiga hari di Tehran, muktamar dirasmikan Menteri Negara, juga ada program khusus dengan Imam Khamenei. Beliau bercakap mengenai isu Lubnan dan Palestin, termasuk soal Iraq, Afghanistan dan saranan untuk berdepan Amerika Syarikat.

Ucapan Tuan Guru dalam perhimpunan itu?
Saya berucap menyentuh tema yang ditetapkan. Saya menegaskan umat Islam di negara bukan Islam saja berdepan masalah yang mesti diselesaikan. Dalam masa sama mereka mesti menyampaikan mesej dakwah. Sebagaimana orang Islam di zaman dahulu, contohnya di Asia Tenggara, mereka datang ke wilayah bukan Islam, datang untuk berniaga dan menyampaikan seruan Islam. Matlamatnya ialah dakwah yang berjaya mengislamkan sebahagian besar Asia Tenggara. Seperti juga di Bosnia mengikut sejarahnya dan beberapa negara di Benua Afrika.

Penegasan Tuan Guru?
Saya tegaskan, umat Islam patut melaksanakan kewajipan tersebut. Saya melihat mereka (di negara bukan Islam) ini masih ada ruh hubungan yang erat dengan Islam, semangat dan amalan-amalan Islam masih lagi dipertahankan, bahkan dalam isu-isu antarabangsa yang berkaitan orang Islam seperti isu Palestin dan Lubnan. Umat Islam bangkit di negara bukan Islam dan menganjurkan demonstrasi. Mereka berani turun ke padang dan berjaya menarik orang bukan Islam menyertai demo.

Apakah ini suatu kejayaan?
Ya, ini suatu kejayaan yang besar dari segi politik, tetapi seboleh-bolehnya dari segi dakwahnya juga mesti diberi penekanan.

Apa peranan OIC dan NGO Islam boleh buat untuk capai matlamat itu?
Sepatutnya organisasi Islam sama ada berbentuk politik seperti OIC ataupun NGO Islam di peringkat antarabangsa perlu diselaraskan. Membantu menyelaraskan kegiatan pertubuhan Islam dan pusat-pusat Islam di negara bukan Islam.

Ada resolusi?
Banyak. Alhamdulillah beberapa cadangan yang saya sebutkan tadi dimasukkan dalam resolusi.

Bagaimana pula lawatan ke Lubnan?
Saya berada di Lubnan selama tiga hari. Hari pertama melawat tempat-tempat mangsa serangan di selatan Beirut. Dan sebelah petangnya menjadi tetamu kepada Tajammuk Ulama Lubnan, ia merupakan gabungan ulama Sunni dan Syiah.

Pada hari kedua saya melawat tempat-tempat lain yang mengalami kemusnahan di Beirut. Saya dijemput berkhutbah di sebuah masjid Kulliyyah Dakwah di Beirut, kemudiannya ditemuramah TV al-Manar selama satu jam. Saya juga mengadakan pertemuan dengan Sheikh Faisal Malawi, Setiausaha Agung Jamaah Islamiah atau Ikhwan Muslimin Lubnan.

Apa yang Tuan Guru sebutkan dalam temuramah al-Manar?
Saya menyebut bahawa kedatangan saya ke Lubnan untuk mengucapkan tahniah kepada kejayaan Hizbullah dan menyatakan simpati kita. Masalah Palestin dan Lubnan adalah masalah yang tidak boleh dipisahkan dari umat Islam seluruh dunia.

Saya menyebut adalah mustahil dan tidak boleh diterima akal, Israel menyerang begitu rakus hanya kerana seorang tawanan di Gaza dan dua di selatan Lubnan sehingga sanggup mengorban jumlah yang begitu besar tenteranya (Israel), ramai yang cedera dan kerugian yang begitu banyak sehingga berbilion USD (di Israel). Pada saya mesti mereka mempunyai matlamat yang lebih besar dan Hizbullah berjaya menyekat matlamat mereka itu.

Tuan Guru ada sentuh tentang Hamas dan Hizbullah?
Saya menyatakan adanya hubungan antara Hizbullah dengan Hamas dan rakan-rakan di Palestin - bila seluruh negara Arab dan negara umat Islam mengecewakan kerajaan Hamas di Palestin, setelah mereka terkepung begitu lama, dan Hizbullah bertindak - menandakan bahawa tidak ada perbezaan mazhab antara Sunni dan Syiah dalam menghadapi isu ini. Ini menjadi arah kepada titik perpaduan di kalangan Sunni dan Syiah.

Ada lagi pertemuan lain?
Saya juga berjumpa Mufti Lubnan, Dr Kabbani dan Ayatollah Mohd Hussain Fadhullah, kemimpin tertinggi Syiah di Lubnan, kemudian saya berjumpa Sheikh Mohd Naim Qasim, timbalan Sheikh Hassan Nasrallah. Sheikh Hassan atas sebab-sebab keselamatan tidak boleh keluar dari tempatnya dan kita pun tidak boleh pergi ke tempat itu.

Jumpa Sheikh Naim di mana?
Kami berjumpa Sheikh Naim di Beirut, beliau datang ke Beirut dari luar dengan kawalan keselamatan yang amat ketat.

Apa yang beliau nyatakan?
Dia mengucapkan terima kasih dan menyampaikan salam Sheikh Hassan. Dia mengucapkan terima kasih kepada PAS dan rakyat Malaysia yang menunjukkan simpati dan sokongan.

Bagaimana lawatan di Syria?
Di Syria saya berjumpa dengan Khalid Mash'al, pengerusi politik Hamas. Beliau pemimpin tertinggi Hamas, kedudukannya sama dengan Sheikh Hassan Nasrallah.

Natijah peperangan yang berlaku?
Ia memecahkan kesunyian isu Palestin, akibat dikongkong negara-negara Arab yang dibelenggu Amerika dan kuasa-kuasa Barat yang berpihak kepada Israel. Dalam interbiu dengan al-Manar saya kata, saya berasa malu dan sedih kerana persidangan Menteri Luar Arab yang diadakan di Beirut mendapat kebenaran terlebih dahulu Israel. Kapal terbang hendak mendarat dan sebagainya, semuanya mendapat kebenaran Israel.

Rancangan PAS selepas ini?
Kita menunggu maklumat berikutnya daripada gerakan Islam di Lubnan sama ada Jamaah Islamiah, Tajammuk Ulama dan Hizbullah, kita akan terus menyampaikan segala bantuan mengikut kemampuan.

Kita juga akan terus berusaha memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia, supaya tidak dikelirukan media Barat. Wallahua'lam.

Kerajaan perlu ambil alih kilang gula

Mon Sep 25, 06 08:26:23 AM
Oleh Siti Nurazizah

Jika kerajaan melalui Khazanah Nasional boleh mengambil alih kepentingan pihak tertentu di dalam Pantai Holding dengan alasan menjamin kepentingan negara kerana syarikat tersebut juga menjalankan perkhidmatan perbekalan sektor perubatan negara, mengapa tidak pengambilalihan terhadap kilang gula?

Mungkin pendapat saya ini agak tidak relevan. Tetapi untuk menjamin bekalan gula di pasaran yang masih tidak di jual oleh peruncit kerana tiada bekalan, eloklah kerajaan mengambil suatu tindakan yang drastik untuk mententeramkan kegelisahan masyarakat lebih-lebih lagi beberapa musim perayaan akan menjelang tiba.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan, kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang sebenarnya beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan gula.

Bermula dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kasar, pengilang dengan bijak mengeluarkan gula halus dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi ketika itu dengan tujuan untuk meraih untung berlipat kali ganda dari biasa kerana harga ditentukan oleh kilang dan bukannya oleh kerajaan.

Apabila gula halus dijadikan salah satu barang kawalan negara, pengilang masih berdolak dalik tentang bekalan dengan mengatakan bekalan gula ke seluruh negara mencukupi. Walhal gula kasar masih dicatu untuk pasaran tempatan kerana permintaan yang tinggi dari negara jiran. Untuk eksport, harga ditetapkan oleh pengilang dan bukannya oleh kerajaan.

Beberapa persoalan timbul di fikiran rakyat jelata. Apakah menteri dan kementeriannya melindungi dan menjaga kepentingan pengilang atau menjaga hal ehwal rakyat sebagai pengguna?. Mengapa kerajaan tidak menyekat eksport gula kasar ke negara jiran yang begitu ketara seolah-olah tidak adanya kawalan dan had tertentu?. Apakah agensi kerajaan yang lain dan pihak yang berkuasa tiada kuasa untuk menyekat penjualan gula yang melampau ke negara jiran?.

Untuk maklumat gula sekilo dijual Rupiah 5,300 bersamaan RM2.20 pada harga runcit di Indonesia. Sedangkan harga jualan borong di pelabuhan sekitar RM1.65 sekilo. Bayangkan urusan perdagangan ini boleh meraih 55 sen untung sekilo yang diagihkan antara pengeksport di Malaysia, pengimport di Indonesia, pemborong dan peruncit di negara jiran.

Itulah sebabnya pengilang gula tempatan lebih rela menjual gula ke luar negara kerana harga belian di kilang sahaja sudah jauh lebih menguntungkan dari harga jualan runcit kepada pengguna yang berharga RM1.45. Apakah mereka merasakan tidak bersalah menjalankan kegiatan perniagaan sebegitu sedangkan mereka diberikan subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli kerana kerajaan menjangkakan hasil tindakan kerajaan itu boleh mengawal dan memberi kelegaan kos pengeluaran kepada pekilang gula demi kebaikan rakyat supaya tidak dibebankan dengan harga runcit yang tinggi.

Tidakkah kementerian tahu hal sebegini?. Jika tahu menggapa tidak diambil tindakan kepada pekilang gula?. Apakah kementerian takut dengan boikot dan ugutan pekilang gula yang mendakwa harga gula tidak berubah sejak 10 tahun?. Sedangkan selama 10 tahun itu juga pekilang telah mendapat faedah hasil dari semakan kadar dan insentif subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli yang memihak kepada pekilang.

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan yang drastik untuk "mengajar" kilang-kilang gula ini supaya lebih berhati perut dan lebih bersemangat patiotik. Apakah susah sangat untuk mengawal hanya 4 buah kilang gula di seluruh negara?.

Dicadangkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan seperti berikut :-
1. Mengambil alih kesemua syarikat kilang gula untuk menjadikan kerajaan sebagai pemegang saham utama dan berhak memegang kuasa eksekutif.

2. Mewujudkan kilang gula milik penuh kerajaan. Masalah bekalan tidak menjadi masalah kerana terdapat beberapa ladang tebu di Perlis dan Kedah adalah milik agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan negeri.

3. Mengenakan tindakan undang-undang kepada kilang gula kerana lebih mementingkan keuntungan jualan ke luar negara dan "menganak tirikan" pengguna tempatan.

4. Mengenakan tindakan yang tegas dan keras kepada pemborong yang menyorok gula dengan harapan harga gula akan naik satu masa nanti. Mereka tahu barang keperluan ini boleh bertahan lama walaupun di simpan kerana tidak mudah busuk.

Sekali sekala kerajaan kena "tunjukkan taring" dan keluarkan arahan ala "kuku besi" sebagai pengajaran kepada pekilang gula yang sehingga kini masih bersikap membisu walaupun telah beberapa kali ditegur dan didesak oleh kementerian dan persatuan pengguna supaya memberikan kenyataan rasmi kepada rakyat mengapa sukar mendapatkan gula di pasaran sekarang.

Jaminan menteri berkenaan diibaratkan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kerana hakikatnya gula masih kurang di pasaran. Malah di beberapa tempat seperti Tampin, Alor Gajah, Senawang dan Mantin masih lagi berlaku senario papan tanda "gula habis" ditampal di kedai runcit.

Harapan rakyat, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk melindungi berpuluh juta pengguna gula diseluruh negara daripada melindungi kepentingan 4 buah kilang gula sahaja. Tentulah tidak adil untuk memberi keutamaan kepada minoriti sedangkan majoriti tersepit begitu sahaja.

Beri benda supaya sokong Islam bukan rasuah


Mon Sep 25, 06 11:35:12 AM
Oleh Harakahdaily
MARANG, 25 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli dan penyokong supaya dapat membezakan pemberian dengan sesuatu yang dikatakan rasuah.

Menurutnya, sesuatu pemberian untuk mengajak manusia supaya menyokong perjuangan Islam tidak dinamakan rasuah.

Ini, katanya kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan harta benda untuk menarik masyarakat kepada Islam dan perjuangan Islam.

Tegasnya, PAS juga memberikan kebendaan kepada orang supaya mereka bersama-sama dengan perjuangan Islam kerana ianya termasuk dalam sabilillah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau berkata, Islam memberikan penekanan dalam kerja-kerja kebajikan kerana ianya merupakan salah satu cara untuk mengembangkan agama Allah.

Katanya, kerja-kerja kebajikan merupakan tarikan untuk mengajak manusia supaya cinta kepada Islam.

Ini, ujarnya bukan sahaja kepada orang Islam yang wajib diberikan pertolongan tetapi termasuk di kalangan bukan Islam yang perlu dijinakkan hati mereka atau dikenali sebagai muallaf iaitu yang baru memeluk Islam.

"Perkembangan agama Islam di zaman Rasulullah bukan sahaja melalui dakwah, melalui ucapan yang dibaca tafsir ayat al-Quran hadis-hadis nabi dan hujah-hujah yang kuat termasuk melalui harta benda, menarik orang kepada Islam dan perjuangan Islam ini adalah kerja kebajikan," katanya.- mr

Ramai askar gila lepas berperang di Iraq

WASHINGTON: Lebih satu pertiga daripada veteran perang Iraq dan Afghanistan yang mendapat rawatan perubatan dari Pentadbiran Kesihatan Veteran mempunyai tanda-tanda tekanan atau kegagalan mental lain, 10 kali ganda meningkat berbanding 18 bulan lalu, kata kajian agensi. Kes yang meningkat itu berikutan lebih ramai tentera ke Iraq dan Afghanistan menimbulkan kebimbangan di kalangan kumpulan veteran itu bahawa agensi berkenaan tidak mampu memenuhi tuntutan mereka. Mereka berkata, veteran itu perlu menunggu lama untuk temu janji doktor, berhadapan dengan kekurangan kakitangan dan peralatan di pusat perubatan yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Veteran. Kerahan untuk tempoh panjang dan berulang kali ke Iraq dan Afghanistan mengakibatkan tekanan tinggi. Di Iraq, tentera juga berhadapan serangan di luar jangka setiap hari dan pengeboman di tepi jalan ketika mereka berjuang di kawasan pemberontakan. Pegawai Jabatan Pertahanan dan Veteran, berkata aduan tekanan dan tanda-tanda kegagalan mental yang meningkat di kalangan tentera memaksa usaha lebih keras dilakukan bagi menangani masalah itu.

Monday, October 02, 2006

Empat zikir sepanjang Ramadhan

NABI Muhammad SAW sentiasa berdoa sepanjang Ramadhan. Malah, dalam riwayat lain, dinyatakan bentuk doa yang diamalkan Rasulullah SAW.

Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadhan. Sabda Baginda yang bermaksud: “Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadhan: Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; ketiga, berdoa meminta syurga dan keempat, memohon keredaan Allah.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Bentuk doa yang dibacakan Rasulullah SAW juga berbeza pada awal, pertengahan dan akhir Ramadan.

Diriwayatkan, pada awal Ramadan, Rasulullah memohon rahmat daripada Allah. Pada pertengahan Ramadan pula, Baginda memohon keampunan. Pada akhir Ramadan, Rasulullah meminta dijauhkan daripada seksaan neraka.