Thursday, April 19, 2007

Ustaz Awang Dagang bersara sebagai YDP PAS Kemaman

KEMAMAN, 18 April (Hrkh) – Ustaz Awang Jusoh atau lebih sinonim dengan panggilan ‘Awang Dagang’ kini ‘bersara’ daripada memegang jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman yang pernah disandang selama 31 tahun.
Ini kerana, sejak terlibat secara aktif dengan PAS Kemaman selama 33 tahun, hanya dua tahun jawatan tersebut ‘bertukar’ tangan kepada Haji Yusoff Tahir pada tahun 1989.
Beliau pernah digelar ‘Giant Killer’ kerana berjaya mengalahkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999 lalu.
“Saya pegang jawatan YDP ini selama 31 tahun dan sekarang perlu kepada orang yang lebih muda dan bertenaga untuk pimpin parti terutama menghadapi pilihan raya.
“Kita mampu dan mudah untuk berlawan dengan Umno tetapi yang jadi masalah kerana PAS berlawan dengan musuh yang guna segala jentera kerajaan,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS kawasan ke-47 di Pusat Pengajian Taman Islam, di sini, kelmarin.
Katanya, PAS masih mempunyai harapan untuk menang serta memerintah semula jika rakyat memberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
Tradisi tanding jawatan parti
Seramai 536 orang perwakilan menjadi `hakim’ memilih 41 calon bagi menerajui PAS Kawasan Kemaman sesi 2007/2009.
PAS kawasan mengekalkan tradisi pertandingan bagi jawatan utama. Bagi jawatan Yang Dipertua menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara timbalan sesi lalu, Abdul Wahab @ Mohd Rabi Ali dengan ahli jawatankuasa, Ismail Harun dan Yusoff Tahir.
Begitu juga jawatan Naib Yang Dipertua, pertandingan tiga calon antara penyandang Solahudin Mohamed dengan Ketua Penerangan sesi lalu, Mehamad Sulong dan Mohd Mahadi Nawi.
Jawatan timbalan YDP pula berlaku pertandingan dua penjuru antara Che Harun Ibrahim dengan Setiausaha PAS Kawasan sesi lalu, Hanafiah Ramli.
Empat dicalonkan untuk jawatan pemeriksa kira-kira manakala pengerusi tetap serta timbalannya menang tanpa bertanding.
Keputusan pemilihan menyaksikan bekas Adun Puteh, Ismail Harun dipilih sebagai YDP, Hanafiah Ramli (naib) dan Mehamad Sulong sebagai naib YDP.
Ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Ahmad @ Hamed Ismail, Ahmad Salehuddin Othman, Alias Abdul Hamid, Amri Mamat, Awang Jusoh, Che Harun Ibrahim, Johan Ismail, Long Kamarudin Long Hasan, Abu Nabil Muhamad, Othman Abdullah, Raja Mazlan Raja Muda, Shamsul Bahari Yusof, Suhaimi Sahidin, Syed Hashim Tuan Long dan Wan Ali Wan Yusof.
Abdul Aziz Salleh dan Wan Ahmad Ikram Wan Musa dipilih sebagai Pemeriksa Kira-kira manakala Nor Azman Lua Abdullah dan Abdul Rahman Khalid sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap. - mr

Thursday, April 12, 2007

taman baru di binjai, kemaman

nampaknya kami akan dapat ramai jiran baru.. Lokasi: tepi jalan (susur keluar ke LPT). Dekat tapak pasar Binjai.




http://www.misijutawan.com/scripts/a.php?a_aid=8950&a_bid=24

Monday, March 19, 2007

Mampukah Ahmadinejad bertahan hadapi serangan psikologi Amerika?

Posted on Saturday, March 17 @ 22:58:56 CDT by reformis
Oleh: Wartawan Kita

IRAN di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berjaya mengharungi tahun 2006 dengan bangga, tanpa tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa dan kuasa besar Amerika Syarikat. Rancangan Amerika untuk menghukum negara Parsi itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan penuh negara-negara sekutu dan negara kuasa besar seperti Rusia dan China.
Walau bagaimanapun, Iran bakal menghadapi cabaran baru tahun 2007 ini dengan meningkatnya usaha Amerika untuk bertindak terhadapnya, sekurang-kurangnya dengan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun dapat diperhatikan peningkatan persediaan Amerika untuk menggunakan kuasa ketenteraan ke atas Iran, tindakan itu dikhuatiri mendatangkan kesan buruk kepada dunia, termasuk ekonomi Amerika yang sangat bergantung kepadakesejahteraan ekonomi global. Amerika dan sekutunya di Timur Tengah mengadakan satu latihan perang besar-besaran berhampiran Teluk Parsi beberapa bulan lalu, sebagai satu tanda amaran kepada Iran. Tempoh penghujung pemerintahan Presiden George W Bush pula mungkin akan memaksa beliau melaksanakan tindakan drastik sebagai menyelesaikan misi yang belum selesai. Iran telah menunjukkan ketabahan dan keberanian sepanjang beberapa tahun lalu, sejak Amerika memperbesar-besarkan program nuklearnya sebagai rancangan membina senjata nuklear. Hubungan dengan Rusia dan China telah digunakan sebaik mungkin oleh Ahmadinejad untuk mengimbangi pengaruh Amerika. Percaturan politik Ahmadinejad itu boleh membawa manfaat besar bagi Iran. Hubungan lebih baik dengan Rusia dan China bermakna hubungan perdagangan yang meningkat antara Iran dengan kedua-dua negara tersebut. Sumber minyak dan gas yang banyak di Iran bermakna peluang pelaburan yang besar bagi Rusia dan China, dua negara yang sememangnya mahu merebut peluang tersebut.
Maka Iran berada di kedudukan yang baik dalam hal ini. Kerjasama nuklear juga diteruskan oleh Iran dengan Rusia. Iran boleh mendapat manfaat daripada kerjasama dengan kedua-dua negara, bukan sahaja dalam bidang politik. Kedua-dua Rusia dan China tahu bahawa tanpa kemasukan syarikat dari Amerika ke Iran, peluang pelaburan lebih besar bagi mereka, dan Iran akan bergantung pada pelaburan mereka dan memberikan keistimewaan, kerana Iran juga memerlukan "perlindungan" kedua-dua negara di Majlis Keselamatan.

Euro
Baru-baru ini, Iran memulakan apa yang sudah lama dijangkakan, yakni mengubah matawang perdagangan minyak daripada dolar Amerika ke euro dan meningkatkan simpanan matawang euro. Langkah ini dilihat sebagai langkah ke arah menamatkan peranan dolar Amerika sebagai matawang rizab antarabangsa. Peralihan Iran daripada dolar ke euro mungkin satu tamparan hebat kepada dolar. Sebagai matawang utama dunia, dolar digunakan dalam majoriti transaksi global. Ini bermakna semua negara perlu menyimpan dolar dengan banyak dalam bentuk tunai untuk melaksanakan perdagangan. Di seluruh dunia, 65% rizab matawang asing ialah dalam dolar. Sehingga hari ini, hampir semua transaksi minyak dilakukan dalam dolar. Sekiranya dolar bukan lagi menjadi matawang pilihan, jumlah dolar yang banyak akan membanjiri pasaran terbuka kerana matawang ini semakin tidak diperlukan. Ini akan mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi Amerika. Trend ini dilihat semakin berkembang. Negara-negara pengeluar minyak yang lain juga semakin mengurangkan pegangan dolar mereka.
Menurut data Bank for International Settlement, jumlah pegangan dolar negara pengeluar minyak kini adalah yang terendah dalam tempoh dua tahun dan mereka mengubah pendapatan minyak kepada euro, yen dan steling. Rusia dan ahli-ahli OPEC telah mengurangkan pegangan dolar mereka daripada 67% dalam suku pertama tahun lalu kepada 65% suku kedua. Lapan belas bulan lalu, pegangan dolar mereka sekitar 70%, manakala pegangan euro mereka meningkat daripada 20% kepada 22%. Walaupun perubahannya kecil, jumlah rizab sebanyak berbilion dolar negara tersebut bermakna perubahan kecil membawa kesan yang besar. Rancangan untuk berubah kepada euro telah lama menjadi hasrat Iran, dan pernah disuarakan juga oleh Rusia, dengan matlamat mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika. Perubahan yang berlaku ini menunjukkan Iran telah memainkan peranan dalam menggugat kuasa Amerika. Ini juga merupakan satu lagi ruang kerjasama Rusia dengan Iran.

Persediaan
Baru-baru ini, Ahmadinejad telah berkata dengan tegas bahawa Iran akan meneruskan program nuklear untuk tenaga. Pada masa yang sama, satu kajian oleh sarjana Amerika mendapati Iran menghadapi masalah menggunakan sumber tenaganya disebabkan kekurangan teknologi dan modal untuk mengeksploit sumber tersebut. Laporan itu mengesahkan apa yang menjadi pendirian Iran yakni program nuklearnya ialah untuk kegunaan tenaga. Tindakan Amerika ingin menghukum Iran jelas sekali satu tindakan untuk terus menekan negara itu supaya terus menghadapi kesukaran untuk mencapai kemakmuran dan kemajuan. Sebagai langkah persediaan terbaru, Amerika dan Britain kini sedang menggerakkan lebih banyak kapal perang dan pesawat tentera ke Teluk Parsi sebagai memberi isyarat kepada Iran. Langkah ini dilakukan sebagai persediaan tindakan ketenteraan ke atas Iran. Dijangka sebuah kapal pengangkut dan kapal sokongan akan ditempatkan berhampiran Iran sebagai langkah persediaan. Persediaan itu juga adalah untuk menguatkuasakan sebarang sekatan yang mungkin dikenakan terhadap Iran oleh Majlis Keselamatan PBB. Amerika juga bersedia menghadapi tindak balas Iran dengan mengerahkan kapal pemusnah periuk api ke kawasan Teluk Parsi. Langkah ini ialah sebagai lanjutan daripada latihan besar-besaran yang dilakukan berhampiran Iran beberapa bulan lalu, diketuai Amerika dan disertai negara-negara sekutu termasuk Britain dan beberapa negara Arab teluk. Sebagai persediaan, Iran juga telah mengadakan latihan perang besar-besaran. Iran juga meningkatkan usaha diplomasi dengan mengadakan perbincangan dengan Rusia dan China. Walaupun kedua-dua negara kuasa dunia itu tidak akan selama-lamanya menyebelahi Iran, kerana mereka juga mempunyai kepentingan tersendiri yang lain, setakat ini kepentingan bersama Iran dengan Rusia dan China masih banyak. Rusia menjadi pembekal senjata utama kepada Iran, di samping menjual peralatan dan perkhidmatan nuklear.
Rusia dan China juga tidak mahu sekutunya dalam mengimbangi pengaruh Amerika dan sumber minyak dan gasnya diserang dan mendatangkan masalah kepada mereka, terutama melibatkan hal perdagangan. Kekacauan di Iraq bermakna Amerika mempunyai alasan untuk terus berada di situ dan menambah jumlah anggota tentera. Maka Iran akan menghadapi ancaman dari Iraq, bukan lagi dalam bentuk ancaman Saddam Hussein seperti dulu, tetapi ancaman kuasa ketenteraan Amerika dan sekutu yang mengepungnya dari barat di Iraq dan dari Timur di Afghanistan dan negara Asia Tengah lain. Kedudukan tentera Amerika mengelilingi Iran mungkin telah dirancang ejak awal lagi untuk persediaan menhadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya Amerika meningkatkan jumlah tentera di Iraq, matlamatnya mungkin bukan Iraq tetapi Iran. Maka pada tahun 2007 ini, tekanan ke atas Iran akan meningkat lagi. Amerika akan cuba memujuk sekutunya agar bersetuju mengenakan hukuman ke atas Iran, untuk melemahkan Iran dengan apa cara sekalipun.
Laporan berita agensi-agensi berita Barat akan terus mencanangkan propaganda memburuk-burukkan Iran dan memperbesarkan "ancaman nuklear" Iran. Sepanjang tahun 2007 ini, semakin banyak berita mengenai Iran akan muncul untuk memaksa semua berfikir selari dengan kehendak Amerika. Tahun 2006 yang lepas telah menunjukkan bagaimana propaganda ini dijalankan. Media Barat memperbesarkan cerita Ahmadinejad bercakap tentang Israel dan melaporkan persidangan holocaust di Tehran dari sudut yang tidak adil. Konteks sebenar kenyataan Ahmadinejad tentang Israel yang kejam itu tidak dilaporkan.
Persidangan holocaust itu juga tidak dilaporkan sebagai satu persidangan mengenai sejarah holocaust tetapi sebagai usaha Ahmadinejad menafikan pembunuhan Yahudi berlaku. Apa yang Amerika mahu Iran lakukan sebenarnya telah dilakukan. Iran telah membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabansga (IAEA) memeriksa kemudahan nuklearnya. Laporan IAEA juga pernah mengesahkan program nuklear Iran tidak seperti yang dipropagandakan oleh Amerika. Tetapi Amerika masih tidak berpuas hati dan meneruskan agenda menghukum Iran yang hakkatnya merupakan agenda Israel yang bimbang dengan kebangkitan Iran. Kempen propaganda Amerika telah pun dimulakan, dengan melagakan orang Islam sunni dengan syiah seperti yang berlaku di Iraq.
Terpulang kepada umat Islam untuk berwaspada dengan propaganda ini.

Thursday, January 18, 2007

Antara tahun Hijrah dan tahun Masihi

Hari ini Khamis, 18 Januari 2007 bersamaan dengan 28 Zulhijjah 1427. Cuma dua hari lagi, iaitu Sabtu ini, insya-Allah kita akan menyambut Tahun Baru Hijrah 1428. Jadi kita bertuah kerana dalam tempoh hanya tiga minggu kita dapat merayakan dua kali tahun baru. Pada tahun depan pula kita akan merayakan dua tahun baru dalam tempoh cuma 10 hari. Pada tahun seterusnya pula kita dijangka merayakan dua tahun baru selang satu atau dua hari saja.
Persoalan tentang tahun Hijrah dan tahun Masihi ini memang sering diperbincangkan di media-media utama. Namun hingga kini rata-rata masyarakat Malaysia masih belum begitu memahami tentang kedua-dua tahun ini khasnya tahun Hijrah. Sebenarnya banyak rahsia tentang perkiraan tahun yang belum diketengahkan kepada umum.
Apabila berbicara tentang apa jua persoalan kita tidak dapat lari daripada merujuk kepada panduan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta. Panduan tersebut sudah tentulah al-Quran dan al-hadis. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab.
Sehubungan itu, sewajarnya kita menguasai bahasa Arab untuk meneroka dengan lebih jauh rahsia-rahsia tentang perkiraan hari, minggu, bulan, tahun, dekad, kurun dan lain-lain lagi yang berkaitan.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah mana satu kita hendak pakai? Tahun Hijrah atau tahun Masihi? Dalam hal ini kita boleh menggunakan salah satu daripadanya. Walaubagaimanapun, yang terbaik ialah kita menggunakan kedua-duanya. Untuk itu, kita perlu membuat kajian terperinci setiap hal yang berkaitan dengan kedua tahun ini.
Tahun Hijrah adalah berdasarkan bulan, manakala tahun Masihi pula berdasarkan matahari. Antara bulan dan matahari, kedua-duanya sama penting kepada kehidupan kita. Di sebelah siang, matahari menyinari kehidupan kita. Pada waktu malamnya pula bulan yang sudi menyuluh kegelapan yang kita hadapi.
Dalam hal ini, kita selalu teringat bait-bait puisi yang sering kita lafazkan ketika tibanya Maulidun Nabawi atau Maulidur Rasul. Bait-bait puisi ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:
Anta Syamsun Anta Badrun (Kaulah umpama matahari dan kaulah umpama bulan)
Anta Nurun Fauqa Nuri (Kaulah umpama cahaya di atas cahaya)
Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran, berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.
Allah berfirman, Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan seperti mana dalam kitab Allah pada hari di mana Allah menjadikan langit dan bumi ini. Antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). (at-Taubah: 36)
Sehubungan itu kita dapat perhatikan semua tahun sama ada tahun Hijrah, tahun Masihi, tahun Arab, tahun Cina, tahun India dan apa jua perkiraan tahun memiliki 12 bulan. Selain itu, jika kita menganalisis ayat al-Quran kita dapati perkataan shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali.
Antaranya ialah ayat yang sering dibaca ketika bulan Ramadan iaitu dalam Surah al-Qadr yang bermaksud, Lailatul qadar lebih baik daripada 1,000 bulan.
Sempena sambutan Maal Hijrah ini marilah kita merenung sejenak kedudukan umat Islam sekarang. Dalam minggu ini suasana masyarakat Islam di Malaysia ialah mereka banyak mengadakan perayaan sambutan Maal Hijrah sama ada di masjid atau di surau. Antara aktiviti yang paling popular ialah aktiviti ceramah tentang peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah.
Kebanyakan penceramah akan menyampaikan cerita tentang perjalanan penuh ranjau ke Yathrib (Madinah) yang dilalui oleh Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar.
Antara slot yang sering difokuskan ialah peranan labah-labah yang telah membuat sarang sebaik sahaja Nabi dan sahabatnya memasuki gua Thur.
Langkah labah-labah tersebut menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berminat masuk ke dalam gua tersebut kerana merasa yakin bahawa tiada orang dalam gua kerana ada sarang labah-labah.
Pada fikiran mereka, jika ada orang yang masuk sudah tentulah sarang tersebut terkoyak. Sehubungan itu, labah-labah dianggap sebagai binatang yang mulia kerana menjadi penyelamat. Oleh itu, tidak hairanlah kalau gambar labah-labah dijadikan lambang utama atau ikon bagi sambutan Maal Hijrah di Malaysia.
Tahukah anda, bahawa peranan yang dimainkan oleh labah-labah tersebut telah menarik perhatian para saintis Barat. Di ketika masyarakat Islam di Malaysia masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah.
Antara hasil dapatan yang diperolehi ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Setelah dibuat perbandingan didapati bahawa baju daripada air liur labah-labah didapati lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli.
Hasil kajian ini, Barat membuat tindakan drastik. Mereka pun membuat projek mega dengan menternak labah-labah secara besar-besaran dan membina kilang memproses air liur labah-labah. Di samping itu kajian ilmiah tentang rahsia labah-labah diteruskan dari semasa ke semasa.
Hari ini, negara-negara Barat seperti Britain menggunakan teknologi ini dalam bidang pertahanan. Mereka begitu yakin dengan fungsi labah-labah yang menjadi benteng yang kuat sehinggakan pihak musuh tidak dapat menyerang Nabi dan sahabatnya.
Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat Islam di Malaysia dan para saintis di Barat? Masyarakat Islam di Malaysia hanya berminat dengan kisah-kisah perjuangan Nabi tetapi rata-ratanya masih lagi kurang berminat untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut.
Para saintis di Barat sangat berminat mengkaji sirah Nabi dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Sehubungan itu, siapa yang lebih menghayati Maal Hijrah?
Tahukah anda?
Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.
Jika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).
Jika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).
As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua) tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut (thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.
Oleh: ABD. RAZAK ABU CHIK