Monday, March 19, 2007

Mampukah Ahmadinejad bertahan hadapi serangan psikologi Amerika?

Posted on Saturday, March 17 @ 22:58:56 CDT by reformis
Oleh: Wartawan Kita

IRAN di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berjaya mengharungi tahun 2006 dengan bangga, tanpa tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa dan kuasa besar Amerika Syarikat. Rancangan Amerika untuk menghukum negara Parsi itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan penuh negara-negara sekutu dan negara kuasa besar seperti Rusia dan China.
Walau bagaimanapun, Iran bakal menghadapi cabaran baru tahun 2007 ini dengan meningkatnya usaha Amerika untuk bertindak terhadapnya, sekurang-kurangnya dengan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun dapat diperhatikan peningkatan persediaan Amerika untuk menggunakan kuasa ketenteraan ke atas Iran, tindakan itu dikhuatiri mendatangkan kesan buruk kepada dunia, termasuk ekonomi Amerika yang sangat bergantung kepadakesejahteraan ekonomi global. Amerika dan sekutunya di Timur Tengah mengadakan satu latihan perang besar-besaran berhampiran Teluk Parsi beberapa bulan lalu, sebagai satu tanda amaran kepada Iran. Tempoh penghujung pemerintahan Presiden George W Bush pula mungkin akan memaksa beliau melaksanakan tindakan drastik sebagai menyelesaikan misi yang belum selesai. Iran telah menunjukkan ketabahan dan keberanian sepanjang beberapa tahun lalu, sejak Amerika memperbesar-besarkan program nuklearnya sebagai rancangan membina senjata nuklear. Hubungan dengan Rusia dan China telah digunakan sebaik mungkin oleh Ahmadinejad untuk mengimbangi pengaruh Amerika. Percaturan politik Ahmadinejad itu boleh membawa manfaat besar bagi Iran. Hubungan lebih baik dengan Rusia dan China bermakna hubungan perdagangan yang meningkat antara Iran dengan kedua-dua negara tersebut. Sumber minyak dan gas yang banyak di Iran bermakna peluang pelaburan yang besar bagi Rusia dan China, dua negara yang sememangnya mahu merebut peluang tersebut.
Maka Iran berada di kedudukan yang baik dalam hal ini. Kerjasama nuklear juga diteruskan oleh Iran dengan Rusia. Iran boleh mendapat manfaat daripada kerjasama dengan kedua-dua negara, bukan sahaja dalam bidang politik. Kedua-dua Rusia dan China tahu bahawa tanpa kemasukan syarikat dari Amerika ke Iran, peluang pelaburan lebih besar bagi mereka, dan Iran akan bergantung pada pelaburan mereka dan memberikan keistimewaan, kerana Iran juga memerlukan "perlindungan" kedua-dua negara di Majlis Keselamatan.

Euro
Baru-baru ini, Iran memulakan apa yang sudah lama dijangkakan, yakni mengubah matawang perdagangan minyak daripada dolar Amerika ke euro dan meningkatkan simpanan matawang euro. Langkah ini dilihat sebagai langkah ke arah menamatkan peranan dolar Amerika sebagai matawang rizab antarabangsa. Peralihan Iran daripada dolar ke euro mungkin satu tamparan hebat kepada dolar. Sebagai matawang utama dunia, dolar digunakan dalam majoriti transaksi global. Ini bermakna semua negara perlu menyimpan dolar dengan banyak dalam bentuk tunai untuk melaksanakan perdagangan. Di seluruh dunia, 65% rizab matawang asing ialah dalam dolar. Sehingga hari ini, hampir semua transaksi minyak dilakukan dalam dolar. Sekiranya dolar bukan lagi menjadi matawang pilihan, jumlah dolar yang banyak akan membanjiri pasaran terbuka kerana matawang ini semakin tidak diperlukan. Ini akan mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi Amerika. Trend ini dilihat semakin berkembang. Negara-negara pengeluar minyak yang lain juga semakin mengurangkan pegangan dolar mereka.
Menurut data Bank for International Settlement, jumlah pegangan dolar negara pengeluar minyak kini adalah yang terendah dalam tempoh dua tahun dan mereka mengubah pendapatan minyak kepada euro, yen dan steling. Rusia dan ahli-ahli OPEC telah mengurangkan pegangan dolar mereka daripada 67% dalam suku pertama tahun lalu kepada 65% suku kedua. Lapan belas bulan lalu, pegangan dolar mereka sekitar 70%, manakala pegangan euro mereka meningkat daripada 20% kepada 22%. Walaupun perubahannya kecil, jumlah rizab sebanyak berbilion dolar negara tersebut bermakna perubahan kecil membawa kesan yang besar. Rancangan untuk berubah kepada euro telah lama menjadi hasrat Iran, dan pernah disuarakan juga oleh Rusia, dengan matlamat mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika. Perubahan yang berlaku ini menunjukkan Iran telah memainkan peranan dalam menggugat kuasa Amerika. Ini juga merupakan satu lagi ruang kerjasama Rusia dengan Iran.

Persediaan
Baru-baru ini, Ahmadinejad telah berkata dengan tegas bahawa Iran akan meneruskan program nuklear untuk tenaga. Pada masa yang sama, satu kajian oleh sarjana Amerika mendapati Iran menghadapi masalah menggunakan sumber tenaganya disebabkan kekurangan teknologi dan modal untuk mengeksploit sumber tersebut. Laporan itu mengesahkan apa yang menjadi pendirian Iran yakni program nuklearnya ialah untuk kegunaan tenaga. Tindakan Amerika ingin menghukum Iran jelas sekali satu tindakan untuk terus menekan negara itu supaya terus menghadapi kesukaran untuk mencapai kemakmuran dan kemajuan. Sebagai langkah persediaan terbaru, Amerika dan Britain kini sedang menggerakkan lebih banyak kapal perang dan pesawat tentera ke Teluk Parsi sebagai memberi isyarat kepada Iran. Langkah ini dilakukan sebagai persediaan tindakan ketenteraan ke atas Iran. Dijangka sebuah kapal pengangkut dan kapal sokongan akan ditempatkan berhampiran Iran sebagai langkah persediaan. Persediaan itu juga adalah untuk menguatkuasakan sebarang sekatan yang mungkin dikenakan terhadap Iran oleh Majlis Keselamatan PBB. Amerika juga bersedia menghadapi tindak balas Iran dengan mengerahkan kapal pemusnah periuk api ke kawasan Teluk Parsi. Langkah ini ialah sebagai lanjutan daripada latihan besar-besaran yang dilakukan berhampiran Iran beberapa bulan lalu, diketuai Amerika dan disertai negara-negara sekutu termasuk Britain dan beberapa negara Arab teluk. Sebagai persediaan, Iran juga telah mengadakan latihan perang besar-besaran. Iran juga meningkatkan usaha diplomasi dengan mengadakan perbincangan dengan Rusia dan China. Walaupun kedua-dua negara kuasa dunia itu tidak akan selama-lamanya menyebelahi Iran, kerana mereka juga mempunyai kepentingan tersendiri yang lain, setakat ini kepentingan bersama Iran dengan Rusia dan China masih banyak. Rusia menjadi pembekal senjata utama kepada Iran, di samping menjual peralatan dan perkhidmatan nuklear.
Rusia dan China juga tidak mahu sekutunya dalam mengimbangi pengaruh Amerika dan sumber minyak dan gasnya diserang dan mendatangkan masalah kepada mereka, terutama melibatkan hal perdagangan. Kekacauan di Iraq bermakna Amerika mempunyai alasan untuk terus berada di situ dan menambah jumlah anggota tentera. Maka Iran akan menghadapi ancaman dari Iraq, bukan lagi dalam bentuk ancaman Saddam Hussein seperti dulu, tetapi ancaman kuasa ketenteraan Amerika dan sekutu yang mengepungnya dari barat di Iraq dan dari Timur di Afghanistan dan negara Asia Tengah lain. Kedudukan tentera Amerika mengelilingi Iran mungkin telah dirancang ejak awal lagi untuk persediaan menhadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya Amerika meningkatkan jumlah tentera di Iraq, matlamatnya mungkin bukan Iraq tetapi Iran. Maka pada tahun 2007 ini, tekanan ke atas Iran akan meningkat lagi. Amerika akan cuba memujuk sekutunya agar bersetuju mengenakan hukuman ke atas Iran, untuk melemahkan Iran dengan apa cara sekalipun.
Laporan berita agensi-agensi berita Barat akan terus mencanangkan propaganda memburuk-burukkan Iran dan memperbesarkan "ancaman nuklear" Iran. Sepanjang tahun 2007 ini, semakin banyak berita mengenai Iran akan muncul untuk memaksa semua berfikir selari dengan kehendak Amerika. Tahun 2006 yang lepas telah menunjukkan bagaimana propaganda ini dijalankan. Media Barat memperbesarkan cerita Ahmadinejad bercakap tentang Israel dan melaporkan persidangan holocaust di Tehran dari sudut yang tidak adil. Konteks sebenar kenyataan Ahmadinejad tentang Israel yang kejam itu tidak dilaporkan.
Persidangan holocaust itu juga tidak dilaporkan sebagai satu persidangan mengenai sejarah holocaust tetapi sebagai usaha Ahmadinejad menafikan pembunuhan Yahudi berlaku. Apa yang Amerika mahu Iran lakukan sebenarnya telah dilakukan. Iran telah membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabansga (IAEA) memeriksa kemudahan nuklearnya. Laporan IAEA juga pernah mengesahkan program nuklear Iran tidak seperti yang dipropagandakan oleh Amerika. Tetapi Amerika masih tidak berpuas hati dan meneruskan agenda menghukum Iran yang hakkatnya merupakan agenda Israel yang bimbang dengan kebangkitan Iran. Kempen propaganda Amerika telah pun dimulakan, dengan melagakan orang Islam sunni dengan syiah seperti yang berlaku di Iraq.
Terpulang kepada umat Islam untuk berwaspada dengan propaganda ini.