Monday, September 07, 2009

Islam: Antara nas dan pendapat tokoh

Ahad September 6, 2009
Oleh Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

MEMBERI pendapat yang berbeza dengan al-Quran dan al-Sunnah adalah satu kesalahan bagi seorang muslim. Namun memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama atau ulama tertentu, bukan semestinya satu kesalahan.
Selagi mana pendapat atau pandangan seseorang tokoh agama itu sekadar pandangannya, maka orang lain boleh berbeza dengannya. Jika pun dia mengemukakan nas atau dalil tertentu, tapi dalil atau nas tersebut masih boleh diberikan berbagai tafsiran yang lain, apatah lagi jika di sana ada pandangan ilmuwan lain yang berpaksikan penghujahan yang kuat, maka pandangan seorang tokoh agama bukan semestinya diterima sebagai ‘itulah kehendak Islam’.
Hal ini penting untuk difahami oleh orang awam, agar mereka dapat membezakan antara pandangan tokoh agama dan agama itu sendiri. Agama berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah. Mana-mana pihak yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah maka itulah Islam.
Namun di sana bukan sedikit juga nas-nas agama samada al-Quran atau al-Sunnah yang boleh diberikan atau terdedah kepada lebih daripada satu tafsiran atau andaian. Mungkin juga apa yang dikatakan oleh tokoh agama sebagai pandangan agama itu, hanya satu tafsirannya sahaja, bukan nas yang jelas.
Dalam perkara hukum atau selainnya yang tiada nas yang jelas, pastinya di sana akan ada lebih daripada satu pendapat, bahkan mungkin puluhan pendapat yang berbeza di kalangan sarjana. Maka, orang awam boleh memilih pendapat yang diyakininya lebih mendekati maksud nas dengan kadar yang difahaminya.
Maka sebab itu, setiap individu muslim yang mampu berfikir membaca dan meneliti, apatah lagi pada zaman teknologi ini hendaklah ketika bertanya pendapat tokoh ilmu agar meminta alasan bagi pendapat mereka.
Campakkan ke dinding sikap sesetengah pihak yang cuba menjadikan agama ini eksklusif untuk diri mereka sahaja dengan membuat arahan yang ‘memandir’ otak umat Islam dengan menyatakan ‘dengar dan taat sahaja apa yang saya beritahu, sebab saya tokoh agama, awak orang biasa’. Rangkapan jahiliah yang seperti ini bukan budaya ilmu dalam Islam.
Makruh Gosok Gigi
Di bulan Ramadan ini mungkin kita terdengar pandangan ustaz yang menyatakan makruh menggosok gigi atau berkumur semasa atau selepas tergelincir matahari ketika berpuasa. Jika kita tanya mereka: ‘apakah nas dalam masalah ini?’. Sebahagian mereka mungkin menjawab: ‘dah ulama cakap macam tu, atau kitab cakap macam itu, terima sahajalah’.
Ini tentulah satu jawapan yang boleh dianggap ‘pandir’ dan dangkal sekali. Islam bukan agama taklid buta, menelan apa yang orang cakap tanpa perlu tahu dalilnya. Mungkin yang lebih berpengetahuan akan menjawab: “ada hadis Nabi s.a.w menyebut: “Bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ya, memang ada tokoh-tokoh ilmuwan silam pun yang memberikan pendapat sebegini. Tetapi hadis ini jika kita lihat tidak pula menyatakan seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan atau digalakkan menggosok gigi. Pendapat yang memakruhkan menggosok gigi –samada menggunakan ubat gigi atau tidak- hanyalah andaian atau kesimpulan yang dibuat daripada hadis ini, bukan ada nas sahih yang jelas melarang hal ini. Hadis ini tidak pula menyatakan bahawa Allah suka supaya bau busuk itu dikekal sepanjang hari.
Ada pun hadis-hadis lain yang seakan menggalakkan orang yang berpuasa mengekalkan bau kerana kering mulut orang berpuasa itu cahaya pada Hari Kiamat adalah daif atau lemah sanadnya. Ini boleh dilihat dalam ulasan al-Imam al-Mubarakfuri (meninggal 1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi mengenai bersugi bagi orang berpuasa. Dalam konteks kehidupan harian, apakah patut kita membiarkan mulut kita sentiasa busuk sepanjang Bulan Ramadan sehingga mengganggu rakan sepejabat atau sekerja yang mungkin di kalangan mereka ada yang tidak faham Islam dan akan mentohmah agama ini?!
Pada saya, andaian yang memakruh bersugi atau membersihkan mulut ketika berpuasa tidak boleh mengatasi galakan bersugi yang Nabi s.a.w sabda: “Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini tidak mengecualikan Bulan Ramadan, dan tentu sekali antara waktu solat itu adalah solat Zohor dan Asar ketika berpuasa.
Tidak Lojik
Nabi s.a.w dalam hadis menyebut ciri-ciri imam solat: “Hendaklah yang menjadi imam bagi sesuatu kaum (jamaah) itu sesiapa yang paling baik dalam kalangan mereka bacaan kitab Allah (bacaan al-Qurannya). Jika mereka itu sama dalam bacaan, maka (pilih) yang paling mengetahui sunnah. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling awal hijrahnya. Jika mereka itu sama, maka (pilih) yang paling banyak usianya” (Riwayat Muslim).
Inilah ciri-ciri imam. Jika semua mereka masih sama, maka bererti kesemuanya yang sama itu layak. Namun sesetengah ulama seperti al-Imam Hasan bin ‘Ammar al-Syurunbulali (meninggal 1069H) menyebut dalam kitabnya Maraqiy al-Falah menambah ciri-ciri lain yang tidak disebut oleh hadis, antaranya; yang paling cantik isterinya, yang paling banyak hartanya, yang paling besar kepalanya, juga yang paling kecil kemaluannya. (lihat: ms 143).
Pada andaian mereka, ini membantu kusyuk. Orang yang isterinya cantik kurang ingat wanita lain, maka lebih khusyuk. Demikian yang kemaluannya kecil kurang syahwat maka lebih khusyuk. Persoalannya, adakah andaian ini benar?! Atau mungkin sebaliknya berlaku.
Kemudian, siapa pula yang hendak menjadi hakim kecantikan isteri para imam ini?! Lebih daripada itu, bagaimana pula hendak mengukur kemaluan mereka?!. Andaian atau tambahan yang dibuat ini, walaupun oleh seorang ulama yang terkenal tidak dapat kita terima. Ia bukan nas al-Quran atau hadis yang terpaksa kita telan bulat-bulat.
Demikian dalam sesetengah kitab fekah Mazhab al-Syafi’i menyebut tentang bab mandi wajib dengan membuat berbagai-bagai andaian yang pelik seperti ‘jika zakar terbelah dua, dimasukkan satunya ke dalam kemaluan isteri pertama, dan yang satu lagi ke dalam isteri kedua, maka wajib mandi ke atas suami, tidak wajib ke atas kedua isterinya. Jika dimasukkan satunya ke dalam kemaluan seorang isteri, sementara satu lagi ke dalam dubur isteri berkenaan, maka wajib mandi keduanya (lihat: Hawasyi al-Syarwani, 1/260).
Dalam Hasyiah al-Bajuri ditambah jika seseorang masuk (keseluruhan tubuh) ke dalam faraj perempuan, maka keduanya wajib mandi..”. Cuba bayangkan, andaian dan huraian yang sebegini agak ganjil. Mungkinkah hal-hal seperti ini berlaku? Atau, kita katakan, di samping kita menghormati sumbangan dan ketokohan ulama-ulama ini, namun perbahasan atau andaian sebegini melebihi batasan keperluan.
Saya sebut hal ini kerana saya terdengar ada tokoh agama keluar dalam media menyatakan apa sahaja yang telah ulama dahulu tulis kita terima sahaja. Katanya, ‘tidak perlulah kita ‘memadai-madai’ untuk memberikan pendapat yang berbeza dengan orang yang lebih alim daripada kita’.
Taklid yang seperti inilah yang menyebabkan ilmu umat Islam tidak berkembang. Pandangan tokoh akhirnya dianggap setaraf dengan nas al-Quran dan Sunnah. Bahkan lebih daripada itu, apabila mereka memberi pandangan yang agak ‘berlebihan’ tetap dipaksa umat menelannya.
Kita menghormati tokoh, namun pendapat mereka bukan wahyu yang tidak boleh dikritik atau dibincangkan. Biasanya, golongan agama yang cuba mengujudkan mentaliti ‘ustaz atau tok guru tak boleh dipersoalkan’ hanyalah untuk menjaga status keselesaan mereka. Kita memberikan pandangan yang berbeza dengan tokoh-tokoh agama tertentu, bukan bererti kita disuruh biadap atau tidak menghormati mereka.
Memberikan pandangan dan mempersoalkan sesuatu kenyataan dengan sopan dan bertujuan mencari kebenaran adalah keperluan dunia ilmu dan sesuatu yang dituntut dalam agama. Hal ini penting untuk difahami. Bukan semua pendapat tokoh agama itu mewakili kehendak Allah dan rasulNya.
Sebagai muslim, kita berhak bertanya dan mencari yang lebih tepat sesuai dengan akal yang Allah kurniakan kepada kita. Kita hormati tokoh, tapi dalam masa yang sama kita tidak akan menggadaikan kebenaran. Kita patut bezakan antara nas Allah dan rasulNya, dengan pandangan tokoh yang mungkin betul, mungkin salah, mungkin patut disemak semula, mungkin juga melepasi batasan keperluan dan kemunasabah untuk umat.
Disebabkan tidak memahami hal inilah, umat Islam pening kepala dengan pandangan tokoh-tokoh agama hari ini yang bermacam-macam. Jika ulama itu berniaga, mungkin dipengaruhi urusan bisnes, yang politik mungkin dipengaruhi urusan politiknya. Begitulah seterusnya. Jalan keluar, kita menyemak alasan dan hujah setiap mereka dan bertanya: adakah ini daripada Allah dan rasulNya, atau tuan ‘rasa-rasa’ sahaja?!.

Friday, May 02, 2008

BUBUR RATAPAN ASYURA

OLEH FAISAL TEHRANI
CERITERA empunya hikayat, andai tuan-tuan terlupa atau ada yang baru ini mengikuti kisah Tun Lepat moleklah kiranya hakir turunkan semula perihal Baginda Sultan Alauddin Riayat Syah yang amat mencurigai isteri baginda. Maka telah dititahkan kepada Tun Lepat untuk mencipta santapan masakan dari tumbuhan yang gatal dari perkarangan istana. Andaikan ada isteri baginda yang ketagih akan dia pada santapan dari tumbuhan yang gatal itu, maka terserlahlah ada niatnya yang tidak lurus terhadap baginda sultan. Tidaklah hakir faham apa hubungannya santapan dari tumbuhan yang gatal dengan niat jahat mana-mana isteri baginda. Benarlah akan daulat baginda itu tak usah dipertikaikan. Namun hakir mengesyaki tentu ada pengaruh Tuan Guru Haji Nuh Ha Mim dalam menentukan isteri mana paling mengingini puteranya naik takhta. Tuan Guru itu seperti tuan-tuan maklumi tidak lain tidak bukan melainkan guru tasawuf baginda sultan jua.Eloklah hakir serahkan kepada sahibul hikayat Tun Lepat jua untuk berkisah seperti biasa.“Adapun benarlah sangkaan itu. Memang kerja Tuan Guru Nuh Ha Mim mencadangkan baginda mencari gerangan si hati busuk dalam kalangan empat isterinya. Akan tetapi Hang Seleri, hari ini bukan kisah talam keladi atau jahat permaisuri Tun Senaja yang ingin kita lipurkan. Hal itu akan kita perikan semula di hujung-hujung, moga tuan sabar juga mendengar. Hari ini ada darihal lain yang harus diberi keutamaan untuk diceriterakan.”Suatu hari yang tidak begitu terik panasnya tidak pula terlalu mendung redupnya, berangkatlah Sultan Alauddin menemui gurunya di Tangga Batu. Akan tetapi tidaklah dapat baginda bertemu dengan gurunya itu kerana orang alim tersebut sudah turun rumah dipanggil orang memadam api kebakaran di kota Baghdad. Hari kedua tatkala panas matahari tidak begitu menyengat, Sultan Alauddin bergegas ke Tangga batu menunggang kuda padi baginda. Sekali lagi Sultan Alauddin hampa kerana dimaklumkan orang perempuan Tuan Guru Nuh Ha Mim, “Abang haji tak ada rumah. Dia sudah berangkat ke kota Mashad, ada majlis Muharam.”Pada malam itu ketika baginda Sultan Alauddin sedang lena tidur di peraduan. Baginda didatangi dua mimpi aneh. Pada awal malam, kira-kira tidak lama sesudah Isya’ baginda terlena lalu datanglah Tuan Guru Nuh Ha Mim dengan wajah letah lesu dan riak muka metu sedih. “Anakanda tuanku, ini kita datang membacakan hadis yang ada dalam Kitab al Mustadrak ‘ala l Sahihaian pada jilid tiga di muka seratus empat puluh lapan akan hadis Rasulullah yang menurut al Hakim adalah sahih berdasarkan syarat Imam Muslim berbunyi ia begini: ‘Maka seandainya seseorang berdiri lalu dia solat dan berpuasa kemudian dia mati berjumpa dengan Allah sedangkan dia benci kepada ahlul bait Muhammad, nescaya dia itu masuk neraka.' Kita risau umat Melayu itu setelah Islamnya tidak mengenal jahat orang ke atas ahlul bait, sebaliknya mendokong kezaliman pemerintah terhadap keluarga Nabi Muhammad itu.”Sultan Alauddin terjaga dari tidur, puas diamat-amati mimpinya itu tidak tahu apa ertinya. Baginda melihat dian di sisi peraduan bergoyang-goyang menari. Oleh memikir dengan hati rusuh entah kala bila baginda terlena lagi. Dalam lelap itu bermimpilah lagi Sultan Alauddin. Kali ini baginda didatangi oleh Nabi Muhammad sendiri. Wajah baginda rasul mendung duka, penuh kesedihan dan kesakitan batini teramat sangat. Baginda Rasulullah bersabda seraya merenung dia akan Sultan Alauddin kemudian Nabi Muhammad menyeru nama asal Sultan Alauddin iaitu Raja Husin dan mengeluarkan sabda baginda yang boleh tuan-tuan temui dalam Kitab Sahih Bukhari, pada jilid kedua di muka dua ratus enam. “Fatimah adalah belahan nyawaku, siapa yang menyebabkannya murka maka dia telah menyebabkan aku murka’.Tidak lama kemudian muncul Tun Lepat dalam mimpi Sultan Alauddin, berdirilah Tun Lepat di sisi Rasulullah; menangis ia sehingga matanya menyala seperti biji saga baru gugur.Sebentar masuklah sepertiga malam baginda Sultan Alauddin terjagalah dari tidurnya. Oleh mimpi bertemu Rasulullah itu baginda bersyukur kerana setan itu tak mungkin menyerupai Rasulullah. Baginda Sultan Alauddin bingkas dan terus berwuduk. Setelah solat dua rakaat, baginda ke kamar mengaji tempat tersimpannya segala kitab dan telaah ilmu-ilmu Islam.Sultan Alauddin bersuara perlahan kepada diri sendiri, “Mengapa Rasulullah memanggil aku dengan nama asalku iaitu Husin? Apa pula gerangannya ada Tun Lepat di sisi Rasul? Apa amalannya Tun Lepat ini?”Baginda sultan secara rambang menyelak kitab Imam Baihaqi yakni Dalail al Nubuwwah, pada juzuk enam, terbabar muka empat ratus enam puluh lapan. Sultan Alauddin kemudian membuka lagi secara tidak dirancang kitabnya Ibnu Katsir, yakni al Bidayah wa al Nihayah, terdedah di situ juzuk enam, pada muka dua ratus tiga puluh. Makin bingung baginda tuanku lantas diambil dan dibuka pula kitab karangan Ibnu Asakir yakni Tarikh Dimasyq, kemudiannya kitab Ibn Hajar yakni al-Shawa’iq al Muhriqah, kemudian kitab karangan Qunduzi pada awal juzuk dua Yanabi al Mawaddah, termasuk jugalah kitab al-Mustadrak, pada juzuk tiga di muka seratus tujuh puluh enam. Semuanya baginda buka secara tidak sengaja dan pada situ semuanya ada hadis dan tuntutan untuk menangisi kesyahidan Saidina Husin.Sampaikan akhir sekali kitab tulisnya Al-Khawarizmi yakni Maqtal al-Husain menjadi teranglah akan baginda Sultan Alauddin yang Rasulullah saw mahu baginda menatap sebuah hadis dengan sanad dari Asma binti Abu Umais sebuah khabar yang panjang, di mana pada bahagian akhir khabar itu ditulis bahawa Asma berkata: Bahawa setahun setelah kelahiran Hasan, Fatimah melahirkan Husin. Nabi datang kepadanya dan berkata, ‘Wahai Asma, berikanlah kepadaku puteraku.’ Kemudian dia menyerahkannya dengan diselimuti kain putih. Nabi mengazankannya pada telinga yang kanan dan mengiqamatkan pada telinga yang kiri, kemudian meletakkan dalam pangkuannya dan menangis. Asma kehairanan dan bertanya kepada Nabi.’ Demi ayah dan ibuku apa yang menyebabkan engkau menangis ya Rasul? Nabi menjawab, ‘Kerana puteraku ini’. Asma berkata, ‘Dia baru sahaja lahir.’ Nabi menjawab, ‘Wahai Asma, dia akan dibunuh oleh kelompok yang zalim, yang tidak akan mendapat syafaatku.’ Kemudian Nabi berkata, ‘Wahai Asma, janganlah engkau memberitahu Fatimah akan hal ini kerana dia baru sahaja melahirkannya.’Buat seketika melongo mulut Sultan Alauddin, perlahan-lahan datang sedih dan duka di hatinya. Fahamlah baginda mengapa begitu duka sekali Rasulullah maka merataplah berbiji-biji Sultan Alauddin sampai menitis-nitis air mata membasahi janggut.
Baginda Sultan Alauddin yang alim itu juga melihat kitab karangan Hamwaini, berjudul ia Faraid al-Simthin, pada juzuk dua, di muka seratus tiga. Juga Baginda bertemu dengan kitab yang dipinjamkan oleh Tuan Guru Nuh Ha Mim yakni Tarikh Dimasyq ciptakarya Ibnu Asakir pada hadis tigabelas dan empat belas bab riwayat Saidina Husin juga ada hadis panjang yang serupa.Kala tiba siang baginda Sultan Alauddin memerintahkan kita menghadap. “Duhai Tun Lepat, bukankah baginda ini seorang sultan?”“Ampun tuanku, sembah patik harap diampun.”“Hendaklah tuan bercakap benar.” Titah Sultan Alauddin penuh seru.“Kenapa tuan ini dapat muncul dalam mimpi beta?”Berderau darah Tun Lepat, sangkanya tentu sahaja baginda akan murka dan habislah nyawanya.Tun Lepat dengan ragu mengangkat sembah lagi dan bersuara, “Ampunkan pacal yang hina dina ini tuanku, tidaklah pacal memahami erti kata-kata tuanku.”Sultan Alauddin menghela nafas, menatap wajah Tun Lepat sang gerau istana yang telah berkhidmat untuk setiap raja dan sultan sejak zaman pendiri Melaka lagi iaitu Raja Parameswara.“Apa amalan kamu sesudah subuh duhai Tun Lepat, hendaklah kamu bercakap benar.” Sultan Alauddin mengeraskan suaranya, baginda mahu mengorek rahsia Tun Lepat.Tun Lepat menggigil menjawab, berlutut di hadapan Sultan Alauddin. “Dinding emas perak lidah patik, kalau sesudah subuh selalunya patik membaca solawat penuh.”“Apa itu solawat penuh?”“Solawat itu tidak sahaja memuji dan memuja baginda Rasul tetapi juga keluarganya. Allahumma shalli ala Muhammad wa ali Muhammad.”“Lagi? Jangan bersorok-sorok dengan beta Tun Lepat.”Tun Lepat menelan liur. “Patik juga membaca ayat al-Quran setiap sesudah subuh, ayat dua puluh dua surah al-Mujadilah: Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Patik baca ayat itu kerana itu menjadi ingatan buat patik setiap hari yang tidak masuk akal kalau patik cintakan ahlul bait, dalam masa yang sama patik cintakan pula musuhnya."Sultan Alauddin senyum, berdiri baginda segera seraya menitahkan Tun Lepat ikut sama bingkas. “Kita ke Tangga Batu berdua. Tuan Guru Nuh Ha Mim dan tuan muncul dalam mimpi beta kerana sesuatu. Tidak beta tahu apa ia. Dua kali beta ke Tangga Batu, Tuan Guru mengelak sahaja…nah ada yang ingin diajarnya kita. Ayuh ikut beta.”
Maka berangkatlah Sultan Alauddin dan Tun Lepat ke desa Tangga Batu, digelar ia begitu kerana setiap rumah di situ batu-bata tangganya bukan kayu.Alhamdulillah, baginda Sultan Alauddin dan kita diterima Tuan Guru Nuh Ha Mim. Kita duduk sebelah menyebelah dengan baginda sultan menghadap orang alim itu. Untuk kita tentulah satu pengalaman aneh, rasa pelik baginda tuanku menggugur dikara mulia dan mencemar duli begitu. Tuan Guru Nuh Ha Mim pun bersuara, “Hidup kita di buana ini Husin dan Lepat tidak boleh menyangka-nyangka sahaja. seperti firman Allah 'Maka apakah kamu menyangka bahawa kami menciptakanmu secara main-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada kami?’ Itu ada dalam surah Al-Mukminun ayat seratus lima belas. Husin dan Lepat manusia ini dihantar ke dunia bukan untuk makan minum berak, kahwin beranak dan kemudian menunggu mati sahaja. Manusia dicipta untuk mencari ilmu yang benar dan beribadah. Maka, penuhilah tuntutan mencari itu dahulu. Hidup kita memang diminta mencari kebenaran iaitu jalan yang lurus.”Kita tunduk sahaja, tidak berani menentang mata Tuan Guru Nuh Ha Mim.“Husin dan Lepat, adalah kita ini memanggil tuan berdua ini supaya dapat dijanjikan kita satu perkara.”Kening baginda Sultan Alauddin terangkat sedikit. “Tuan Guru, kita bersiap siaga untuk memenuhi segala kemahuan.”Tuan Guru Nuh Ha Mim membelai jambang putihnya. “Kita memikir bagaimana kiranya untuk membuat orang Melayu Islam itu mengingat akan ahlul bait atau keluarga Nabi Muhammad saw. Mengingat ia akan asyura.”Sultan Alauddin bersuara jelas. “Apa yang ingin diingat pada asyura itu Tuan Guru?”Tuan Guru memandang kepada kita. “Tun Lepat, ciptakan satu makanan, nasi menangis katakan. Hendaklah pada makanan itu ada tujuh peringatan tentang asyura.”Kita pun pulang ke istana bersama baginda sultan. Serasa-rasa inilah kerja dan ciptaan makanan paling mencabar sepanjang sejarah kita menjadi gerau. Setelah memikir-mikir lama, maka kita menetapkan harus ada pada bubur itu bawang putih kerana dengan putih itu akan kita semua ingat hitamnya Yazid penguasa yang merancang pembunuhan Imam Husin, cucunda Rasulullah yang disembelih pada sepuluh Muharam. Hitamnya Yazid itu juga kerana Yazid dan pewarisnya setiap kali khutbah Jumaat maka diperintahkan khatib untuk mencerca dan memaki hamun ahlul bait. Kita tahu benar sejarah mencatatkan kerja menghamun keluarga Nabi Muhammad ini hanya berhenti untuk tempoh tak sampai dua tahun ketika pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang wara' itu. Dalam bubur yang kita cipta itu harus ada bawang merah kerana dosa Yazid yang banyak menumpah darah. Di sebalik beras kita masukkan dua cangkir biji gandum. Itu kerana kita hendak menunjukkan betapa banyaknya penyimpangan sunnah dan pembuatan bidah yang dilakukan Yazid bin Muawiyah. Gandum dalam beras; tidakkah namanya bidah besar dan pelanggaran sunnah bila dia itu mengambil takhta pemerintahan daripada Muawiyah bapanya. Dialah penerus pemerintahan beraja yang tidak pernah dikenal Islam. Dialah penerus tatacara hidup Rom dan Parsi dalam bidang siasah.Kita masukkan pula halia dan lada hitam supaya orang yang mengecap bubur ratapan asyura itu mengenang betapa Yazid tidak bertaubat. Kerana Yazid itulah punca tujuh putera Saidina Ali dibunuh dalam satu hari iaitu, antara lain Saidina Husin, Saidina Abbas dan Saidina Jaafar. Semuanya disembelih. Di Karbala itu jugalah dua cicit Rasulullah yakni anak Saidina Husin yang masih anak-anak dicincang. Juga terkorban anakanda Saidina Hasan iaitu Abdullah, Abu Bakar dan Qasim. Moga-moga bubur asyura itu membawa orang mengenang riwayat Abu Burdah seperti dinukil Ibnu Katsir dalam al Bidayah wan Nihayah. Harus pemakan bubur itu mengingat betapa Yazid bin Muawiyah itu menjolok-jolok dengan tongkatnya ke mulut dan gigi Imam Husin yang kepalanya sudah terpenggal.Kita masukkan juga kacang yang tuan-tuan namakan kacang kidney untuk penjamah bubur mengingat betapa Yazid itu dosanya bukan di Karbala sahaja tetapi dosanya juga kala mengutus Muslim bin Uqbah serta Husain Numair al Sakuniy untuk membantai Abdullah bin Zubair dan pengikutnya yang berkubu di Mekah. Abdullah bin Zubair itu seingat kita anak Asma' Binti Abu Bakar dan Zubair bin Awwam. Ketika ingin menawan Abdullah bin Zubair itu kota Mekah telah dikepung, Kaabah yang mulia ditembak dengan manjanik hingga rosak dan terbakar kelambunya. Kacang kidney itu peringatan akan kezaliman Yazid. Kemudian kita berikan jua ramuan kacang tanah lantaran dosa Yazid menyerang kota Madinah pada tahun enam puluh tiga hijrah. ‘Tanah’ itu melambangkan Madinah sebagai tanah haram yang dicabul tentera Yazid. Adapun kota itu diserang di bawah arahan Muslim bin Uqbah. Kejadian serangan ini dinamai dalam sejarah sebagai Waqi'ah al Harrah. Tentera Yazid di bawah pimpinan Muslim bin Uqbah telah bermaharajalela dan bukan sahaja membunuh delapanpuluh sahabat pengikut perang Badar dan tabien di situ, malah telah membiarkan askarnya merogol gadis dan wanita di Madinah sehingga diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Madaini yang dipetik dalam Tazkirah, lebih seribu orang wanita telah hamil. Tujuh ribu tokoh muslimin dibunuh, sepuluh ribu rakyat Madinah termasuk seribu orang Ansar dan lapan ratus kaum Quraisy dibantai.Moga-moga Melayu-Islam yang makan bubur asyura itu teringat betapa Rasul pernah bersabda seperti diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ibn al-Jauzi, dan Imam Hanbali yang: 'Barang siapa menakut-nakuti penduduk Madinah dengan kezalimannya, Allah akan membuatnya takut, dan baginya laknat Allah, para malaikat, dan manusia semuanya. Di hari akhirat kelak Allah tidak akan menerima amal perbuatannya'. Tidaklah kita tahu kalau membunuh dan merogol orang di Madinah itu terlepaskah dari hadis ini melainkan mendapat laknat Tuhan jua. Pada bubur ratapan itu juga kita masukkan kacang kuda, kerana terkenanglah kita yang al-Damiri dalam Hayatul al Hayawan, dan al Mas'udi dalam Muruj al-Dzahab, mengatakan Yazid itu amat haiwan khususnya menyayangi monyet peliharaannya, termasuk anjing-anjing yang diberi minum dengan tangan sendiri sedang keluarga Nabi Muhammad ketika dibantai tanpa belas kasihan di Karbala terbiar kehausan sampai syahid.Harapan kita setelah orang makan bubur ratapan asyura itu orang Melayu akan tegas menolak Yazid kerana Yazid adalah pemerintah zalim, dan raja zalim harus disanggah. Kata-kata itu Tuan Guru Nuh Ha Mim yang empunya. Islam tidak membenarkan kezaliman malah Rasulullah datang membawa keadilan. Imam Husin telah mengorbankan diri dan keluarganya untuk membolehkan kita melihat kezaliman Yazid ini. Harapan kita oleh makan bubur asyura itu akan ingatlah orang setiap hari adalah asyura, setiap tempat adalah Karbala, dan setiap muslim harus ingin menjadi Husin, kalau tidak syahid harus ia menjadi Zainab adiknya yang meneruskan perlawanan.GLOSARISahibul Hikayat – Yang mula-mula merawikan cerita.Gerau – Chef diraja.Tabien – Golongan pengikut sahabat Rasulullah saw yang adil.Buana – Dunia yang sementara.Ahlul Bait – Keluarga Rasulullah saw yang merangkumi baginda sendiri, Saidina Ali, Saidatina Fatimah, dan Saidina Hasan dan Husin.

Thursday, April 19, 2007

Ustaz Awang Dagang bersara sebagai YDP PAS Kemaman

KEMAMAN, 18 April (Hrkh) – Ustaz Awang Jusoh atau lebih sinonim dengan panggilan ‘Awang Dagang’ kini ‘bersara’ daripada memegang jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman yang pernah disandang selama 31 tahun.
Ini kerana, sejak terlibat secara aktif dengan PAS Kemaman selama 33 tahun, hanya dua tahun jawatan tersebut ‘bertukar’ tangan kepada Haji Yusoff Tahir pada tahun 1989.
Beliau pernah digelar ‘Giant Killer’ kerana berjaya mengalahkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad selaku Menteri Besar Terengganu pada pilihan raya umum ke-10 tahun 1999 lalu.
“Saya pegang jawatan YDP ini selama 31 tahun dan sekarang perlu kepada orang yang lebih muda dan bertenaga untuk pimpin parti terutama menghadapi pilihan raya.
“Kita mampu dan mudah untuk berlawan dengan Umno tetapi yang jadi masalah kerana PAS berlawan dengan musuh yang guna segala jentera kerajaan,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS kawasan ke-47 di Pusat Pengajian Taman Islam, di sini, kelmarin.
Katanya, PAS masih mempunyai harapan untuk menang serta memerintah semula jika rakyat memberi mandat sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.
Tradisi tanding jawatan parti
Seramai 536 orang perwakilan menjadi `hakim’ memilih 41 calon bagi menerajui PAS Kawasan Kemaman sesi 2007/2009.
PAS kawasan mengekalkan tradisi pertandingan bagi jawatan utama. Bagi jawatan Yang Dipertua menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara timbalan sesi lalu, Abdul Wahab @ Mohd Rabi Ali dengan ahli jawatankuasa, Ismail Harun dan Yusoff Tahir.
Begitu juga jawatan Naib Yang Dipertua, pertandingan tiga calon antara penyandang Solahudin Mohamed dengan Ketua Penerangan sesi lalu, Mehamad Sulong dan Mohd Mahadi Nawi.
Jawatan timbalan YDP pula berlaku pertandingan dua penjuru antara Che Harun Ibrahim dengan Setiausaha PAS Kawasan sesi lalu, Hanafiah Ramli.
Empat dicalonkan untuk jawatan pemeriksa kira-kira manakala pengerusi tetap serta timbalannya menang tanpa bertanding.
Keputusan pemilihan menyaksikan bekas Adun Puteh, Ismail Harun dipilih sebagai YDP, Hanafiah Ramli (naib) dan Mehamad Sulong sebagai naib YDP.
Ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Ahmad @ Hamed Ismail, Ahmad Salehuddin Othman, Alias Abdul Hamid, Amri Mamat, Awang Jusoh, Che Harun Ibrahim, Johan Ismail, Long Kamarudin Long Hasan, Abu Nabil Muhamad, Othman Abdullah, Raja Mazlan Raja Muda, Shamsul Bahari Yusof, Suhaimi Sahidin, Syed Hashim Tuan Long dan Wan Ali Wan Yusof.
Abdul Aziz Salleh dan Wan Ahmad Ikram Wan Musa dipilih sebagai Pemeriksa Kira-kira manakala Nor Azman Lua Abdullah dan Abdul Rahman Khalid sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi tetap. - mr

Thursday, April 12, 2007

taman baru di binjai, kemaman

nampaknya kami akan dapat ramai jiran baru.. Lokasi: tepi jalan (susur keluar ke LPT). Dekat tapak pasar Binjai.




http://www.misijutawan.com/scripts/a.php?a_aid=8950&a_bid=24

Monday, March 19, 2007

Mampukah Ahmadinejad bertahan hadapi serangan psikologi Amerika?

Posted on Saturday, March 17 @ 22:58:56 CDT by reformis
Oleh: Wartawan Kita

IRAN di bawah pimpinan Presiden Mahmoud Ahmadinejad berjaya mengharungi tahun 2006 dengan bangga, tanpa tunduk kepada tekanan masyarakat antarabangsa dan kuasa besar Amerika Syarikat. Rancangan Amerika untuk menghukum negara Parsi itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan penuh negara-negara sekutu dan negara kuasa besar seperti Rusia dan China.
Walau bagaimanapun, Iran bakal menghadapi cabaran baru tahun 2007 ini dengan meningkatnya usaha Amerika untuk bertindak terhadapnya, sekurang-kurangnya dengan sekatan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun dapat diperhatikan peningkatan persediaan Amerika untuk menggunakan kuasa ketenteraan ke atas Iran, tindakan itu dikhuatiri mendatangkan kesan buruk kepada dunia, termasuk ekonomi Amerika yang sangat bergantung kepadakesejahteraan ekonomi global. Amerika dan sekutunya di Timur Tengah mengadakan satu latihan perang besar-besaran berhampiran Teluk Parsi beberapa bulan lalu, sebagai satu tanda amaran kepada Iran. Tempoh penghujung pemerintahan Presiden George W Bush pula mungkin akan memaksa beliau melaksanakan tindakan drastik sebagai menyelesaikan misi yang belum selesai. Iran telah menunjukkan ketabahan dan keberanian sepanjang beberapa tahun lalu, sejak Amerika memperbesar-besarkan program nuklearnya sebagai rancangan membina senjata nuklear. Hubungan dengan Rusia dan China telah digunakan sebaik mungkin oleh Ahmadinejad untuk mengimbangi pengaruh Amerika. Percaturan politik Ahmadinejad itu boleh membawa manfaat besar bagi Iran. Hubungan lebih baik dengan Rusia dan China bermakna hubungan perdagangan yang meningkat antara Iran dengan kedua-dua negara tersebut. Sumber minyak dan gas yang banyak di Iran bermakna peluang pelaburan yang besar bagi Rusia dan China, dua negara yang sememangnya mahu merebut peluang tersebut.
Maka Iran berada di kedudukan yang baik dalam hal ini. Kerjasama nuklear juga diteruskan oleh Iran dengan Rusia. Iran boleh mendapat manfaat daripada kerjasama dengan kedua-dua negara, bukan sahaja dalam bidang politik. Kedua-dua Rusia dan China tahu bahawa tanpa kemasukan syarikat dari Amerika ke Iran, peluang pelaburan lebih besar bagi mereka, dan Iran akan bergantung pada pelaburan mereka dan memberikan keistimewaan, kerana Iran juga memerlukan "perlindungan" kedua-dua negara di Majlis Keselamatan.

Euro
Baru-baru ini, Iran memulakan apa yang sudah lama dijangkakan, yakni mengubah matawang perdagangan minyak daripada dolar Amerika ke euro dan meningkatkan simpanan matawang euro. Langkah ini dilihat sebagai langkah ke arah menamatkan peranan dolar Amerika sebagai matawang rizab antarabangsa. Peralihan Iran daripada dolar ke euro mungkin satu tamparan hebat kepada dolar. Sebagai matawang utama dunia, dolar digunakan dalam majoriti transaksi global. Ini bermakna semua negara perlu menyimpan dolar dengan banyak dalam bentuk tunai untuk melaksanakan perdagangan. Di seluruh dunia, 65% rizab matawang asing ialah dalam dolar. Sehingga hari ini, hampir semua transaksi minyak dilakukan dalam dolar. Sekiranya dolar bukan lagi menjadi matawang pilihan, jumlah dolar yang banyak akan membanjiri pasaran terbuka kerana matawang ini semakin tidak diperlukan. Ini akan mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi Amerika. Trend ini dilihat semakin berkembang. Negara-negara pengeluar minyak yang lain juga semakin mengurangkan pegangan dolar mereka.
Menurut data Bank for International Settlement, jumlah pegangan dolar negara pengeluar minyak kini adalah yang terendah dalam tempoh dua tahun dan mereka mengubah pendapatan minyak kepada euro, yen dan steling. Rusia dan ahli-ahli OPEC telah mengurangkan pegangan dolar mereka daripada 67% dalam suku pertama tahun lalu kepada 65% suku kedua. Lapan belas bulan lalu, pegangan dolar mereka sekitar 70%, manakala pegangan euro mereka meningkat daripada 20% kepada 22%. Walaupun perubahannya kecil, jumlah rizab sebanyak berbilion dolar negara tersebut bermakna perubahan kecil membawa kesan yang besar. Rancangan untuk berubah kepada euro telah lama menjadi hasrat Iran, dan pernah disuarakan juga oleh Rusia, dengan matlamat mengurangkan pergantungan kepada dolar Amerika. Perubahan yang berlaku ini menunjukkan Iran telah memainkan peranan dalam menggugat kuasa Amerika. Ini juga merupakan satu lagi ruang kerjasama Rusia dengan Iran.

Persediaan
Baru-baru ini, Ahmadinejad telah berkata dengan tegas bahawa Iran akan meneruskan program nuklear untuk tenaga. Pada masa yang sama, satu kajian oleh sarjana Amerika mendapati Iran menghadapi masalah menggunakan sumber tenaganya disebabkan kekurangan teknologi dan modal untuk mengeksploit sumber tersebut. Laporan itu mengesahkan apa yang menjadi pendirian Iran yakni program nuklearnya ialah untuk kegunaan tenaga. Tindakan Amerika ingin menghukum Iran jelas sekali satu tindakan untuk terus menekan negara itu supaya terus menghadapi kesukaran untuk mencapai kemakmuran dan kemajuan. Sebagai langkah persediaan terbaru, Amerika dan Britain kini sedang menggerakkan lebih banyak kapal perang dan pesawat tentera ke Teluk Parsi sebagai memberi isyarat kepada Iran. Langkah ini dilakukan sebagai persediaan tindakan ketenteraan ke atas Iran. Dijangka sebuah kapal pengangkut dan kapal sokongan akan ditempatkan berhampiran Iran sebagai langkah persediaan. Persediaan itu juga adalah untuk menguatkuasakan sebarang sekatan yang mungkin dikenakan terhadap Iran oleh Majlis Keselamatan PBB. Amerika juga bersedia menghadapi tindak balas Iran dengan mengerahkan kapal pemusnah periuk api ke kawasan Teluk Parsi. Langkah ini ialah sebagai lanjutan daripada latihan besar-besaran yang dilakukan berhampiran Iran beberapa bulan lalu, diketuai Amerika dan disertai negara-negara sekutu termasuk Britain dan beberapa negara Arab teluk. Sebagai persediaan, Iran juga telah mengadakan latihan perang besar-besaran. Iran juga meningkatkan usaha diplomasi dengan mengadakan perbincangan dengan Rusia dan China. Walaupun kedua-dua negara kuasa dunia itu tidak akan selama-lamanya menyebelahi Iran, kerana mereka juga mempunyai kepentingan tersendiri yang lain, setakat ini kepentingan bersama Iran dengan Rusia dan China masih banyak. Rusia menjadi pembekal senjata utama kepada Iran, di samping menjual peralatan dan perkhidmatan nuklear.
Rusia dan China juga tidak mahu sekutunya dalam mengimbangi pengaruh Amerika dan sumber minyak dan gasnya diserang dan mendatangkan masalah kepada mereka, terutama melibatkan hal perdagangan. Kekacauan di Iraq bermakna Amerika mempunyai alasan untuk terus berada di situ dan menambah jumlah anggota tentera. Maka Iran akan menghadapi ancaman dari Iraq, bukan lagi dalam bentuk ancaman Saddam Hussein seperti dulu, tetapi ancaman kuasa ketenteraan Amerika dan sekutu yang mengepungnya dari barat di Iraq dan dari Timur di Afghanistan dan negara Asia Tengah lain. Kedudukan tentera Amerika mengelilingi Iran mungkin telah dirancang ejak awal lagi untuk persediaan menhadapi sebarang kemungkinan. Sekiranya Amerika meningkatkan jumlah tentera di Iraq, matlamatnya mungkin bukan Iraq tetapi Iran. Maka pada tahun 2007 ini, tekanan ke atas Iran akan meningkat lagi. Amerika akan cuba memujuk sekutunya agar bersetuju mengenakan hukuman ke atas Iran, untuk melemahkan Iran dengan apa cara sekalipun.
Laporan berita agensi-agensi berita Barat akan terus mencanangkan propaganda memburuk-burukkan Iran dan memperbesarkan "ancaman nuklear" Iran. Sepanjang tahun 2007 ini, semakin banyak berita mengenai Iran akan muncul untuk memaksa semua berfikir selari dengan kehendak Amerika. Tahun 2006 yang lepas telah menunjukkan bagaimana propaganda ini dijalankan. Media Barat memperbesarkan cerita Ahmadinejad bercakap tentang Israel dan melaporkan persidangan holocaust di Tehran dari sudut yang tidak adil. Konteks sebenar kenyataan Ahmadinejad tentang Israel yang kejam itu tidak dilaporkan.
Persidangan holocaust itu juga tidak dilaporkan sebagai satu persidangan mengenai sejarah holocaust tetapi sebagai usaha Ahmadinejad menafikan pembunuhan Yahudi berlaku. Apa yang Amerika mahu Iran lakukan sebenarnya telah dilakukan. Iran telah membenarkan pemeriksa Agensi Tenaga Atom Antarabansga (IAEA) memeriksa kemudahan nuklearnya. Laporan IAEA juga pernah mengesahkan program nuklear Iran tidak seperti yang dipropagandakan oleh Amerika. Tetapi Amerika masih tidak berpuas hati dan meneruskan agenda menghukum Iran yang hakkatnya merupakan agenda Israel yang bimbang dengan kebangkitan Iran. Kempen propaganda Amerika telah pun dimulakan, dengan melagakan orang Islam sunni dengan syiah seperti yang berlaku di Iraq.
Terpulang kepada umat Islam untuk berwaspada dengan propaganda ini.

Thursday, January 18, 2007

Antara tahun Hijrah dan tahun Masihi

Hari ini Khamis, 18 Januari 2007 bersamaan dengan 28 Zulhijjah 1427. Cuma dua hari lagi, iaitu Sabtu ini, insya-Allah kita akan menyambut Tahun Baru Hijrah 1428. Jadi kita bertuah kerana dalam tempoh hanya tiga minggu kita dapat merayakan dua kali tahun baru. Pada tahun depan pula kita akan merayakan dua tahun baru dalam tempoh cuma 10 hari. Pada tahun seterusnya pula kita dijangka merayakan dua tahun baru selang satu atau dua hari saja.
Persoalan tentang tahun Hijrah dan tahun Masihi ini memang sering diperbincangkan di media-media utama. Namun hingga kini rata-rata masyarakat Malaysia masih belum begitu memahami tentang kedua-dua tahun ini khasnya tahun Hijrah. Sebenarnya banyak rahsia tentang perkiraan tahun yang belum diketengahkan kepada umum.
Apabila berbicara tentang apa jua persoalan kita tidak dapat lari daripada merujuk kepada panduan yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta. Panduan tersebut sudah tentulah al-Quran dan al-hadis. Kedua-dua sumber ini adalah dalam bahasa Arab.
Sehubungan itu, sewajarnya kita menguasai bahasa Arab untuk meneroka dengan lebih jauh rahsia-rahsia tentang perkiraan hari, minggu, bulan, tahun, dekad, kurun dan lain-lain lagi yang berkaitan.
Persoalan yang sering ditimbulkan ialah mana satu kita hendak pakai? Tahun Hijrah atau tahun Masihi? Dalam hal ini kita boleh menggunakan salah satu daripadanya. Walaubagaimanapun, yang terbaik ialah kita menggunakan kedua-duanya. Untuk itu, kita perlu membuat kajian terperinci setiap hal yang berkaitan dengan kedua tahun ini.
Tahun Hijrah adalah berdasarkan bulan, manakala tahun Masihi pula berdasarkan matahari. Antara bulan dan matahari, kedua-duanya sama penting kepada kehidupan kita. Di sebelah siang, matahari menyinari kehidupan kita. Pada waktu malamnya pula bulan yang sudi menyuluh kegelapan yang kita hadapi.
Dalam hal ini, kita selalu teringat bait-bait puisi yang sering kita lafazkan ketika tibanya Maulidun Nabawi atau Maulidur Rasul. Bait-bait puisi ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. iaitu:
Anta Syamsun Anta Badrun (Kaulah umpama matahari dan kaulah umpama bulan)
Anta Nurun Fauqa Nuri (Kaulah umpama cahaya di atas cahaya)
Tahun Masihi dikira berasaskan peredaran matahari manakala Tahun Hijrah pula dikira berasaskan peredaran bulan. Perkataan matahari disebut sebanyak 33 kali dalam al-Quran, berbanding perkataan bulan disebut sebanyak 27 kali dalam al-Quran. Jika dijumlahkan keduanya disebut sebanyak 60 kali. Purata bagi keduanya ialah 30 kali.
Allah berfirman, Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah 12 bulan seperti mana dalam kitab Allah pada hari di mana Allah menjadikan langit dan bumi ini. Antaranya ialah empat bulan yang diharamkan berperang (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). (at-Taubah: 36)
Sehubungan itu kita dapat perhatikan semua tahun sama ada tahun Hijrah, tahun Masihi, tahun Arab, tahun Cina, tahun India dan apa jua perkiraan tahun memiliki 12 bulan. Selain itu, jika kita menganalisis ayat al-Quran kita dapati perkataan shahrun yang bererti bulan disebut sebanyak 12 kali.
Antaranya ialah ayat yang sering dibaca ketika bulan Ramadan iaitu dalam Surah al-Qadr yang bermaksud, Lailatul qadar lebih baik daripada 1,000 bulan.
Sempena sambutan Maal Hijrah ini marilah kita merenung sejenak kedudukan umat Islam sekarang. Dalam minggu ini suasana masyarakat Islam di Malaysia ialah mereka banyak mengadakan perayaan sambutan Maal Hijrah sama ada di masjid atau di surau. Antara aktiviti yang paling popular ialah aktiviti ceramah tentang peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah.
Kebanyakan penceramah akan menyampaikan cerita tentang perjalanan penuh ranjau ke Yathrib (Madinah) yang dilalui oleh Rasulullah bersama sahabat karibnya Saidina Abu Bakar.
Antara slot yang sering difokuskan ialah peranan labah-labah yang telah membuat sarang sebaik sahaja Nabi dan sahabatnya memasuki gua Thur.
Langkah labah-labah tersebut menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berminat masuk ke dalam gua tersebut kerana merasa yakin bahawa tiada orang dalam gua kerana ada sarang labah-labah.
Pada fikiran mereka, jika ada orang yang masuk sudah tentulah sarang tersebut terkoyak. Sehubungan itu, labah-labah dianggap sebagai binatang yang mulia kerana menjadi penyelamat. Oleh itu, tidak hairanlah kalau gambar labah-labah dijadikan lambang utama atau ikon bagi sambutan Maal Hijrah di Malaysia.
Tahukah anda, bahawa peranan yang dimainkan oleh labah-labah tersebut telah menarik perhatian para saintis Barat. Di ketika masyarakat Islam di Malaysia masih lagi saban tahun bercerita tentang kisah labah-labah sebagai penyelamat, para saintis Barat telah membuat kajian terperinci tentang labah-labah.
Antara hasil dapatan yang diperolehi ialah air liur labah-labah merupakan suatu elemen yang sangat kuat dalam melindungi sesuatu benda. Setelah dibuat perbandingan didapati bahawa baju daripada air liur labah-labah didapati lebih kuat daripada baju yang dibuat daripada besi keluli. Ini kerana baju yang dibuat daripada air liur labah-labah adalah kalis peluru berbanding besi keluli.
Hasil kajian ini, Barat membuat tindakan drastik. Mereka pun membuat projek mega dengan menternak labah-labah secara besar-besaran dan membina kilang memproses air liur labah-labah. Di samping itu kajian ilmiah tentang rahsia labah-labah diteruskan dari semasa ke semasa.
Hari ini, negara-negara Barat seperti Britain menggunakan teknologi ini dalam bidang pertahanan. Mereka begitu yakin dengan fungsi labah-labah yang menjadi benteng yang kuat sehinggakan pihak musuh tidak dapat menyerang Nabi dan sahabatnya.
Jadi, apakah perbezaan antara cara berfikir masyarakat Islam di Malaysia dan para saintis di Barat? Masyarakat Islam di Malaysia hanya berminat dengan kisah-kisah perjuangan Nabi tetapi rata-ratanya masih lagi kurang berminat untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut.
Para saintis di Barat sangat berminat mengkaji sirah Nabi dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah tersebut. Sehubungan itu, siapa yang lebih menghayati Maal Hijrah?
Tahukah anda?
Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.
Jika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).
Jika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).
As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua) tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut (thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis’a) yang bermaksud 300 tahun dan mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.
Oleh: ABD. RAZAK ABU CHIK

Friday, December 29, 2006

Korban amalan yang disukai Allah

SOALAN: Boleh ustaz jelaskan hukum ibadah korban dan cara terbaik pengagihan dagingnya. Adakah boleh melakukan korban untuk arwah ibu bapa atau sanak saudara?
JAWAPAN: Hukum menjalankan ibadah korban adalah sunat muakkad dan bukannya wajib. Pandangan ini merupakan pendirian jumhur sahabat, seperti Abu Bakar, Umar, Bilal, Ibn Mas’ud, Said bin al-Musayyab, al-Qamah serta sebilangan ulama seperti Imam al-Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal, melainkan Imam Abu Hanifah berpendapat ia wajib bagi mereka yang mampu melakukannya.
Namun perlu diketahui bahawa sunat muakkad merupakan suatu tuntutan namun bukanlah wajib, justeru adalah afdal bagi mereka yang mampu mengerjakan ibadah korban pada hari raya Aidiladha, atau pada mana-mana hari tasyrik. Pandangan Imam al-Sayfie: “Aku tidak melonggarkan hukum korban bagi mereka yang mampu melakukannya, maksudnya makruh meninggalkannya bagi mereka yang mampu. (Shams al-Din al-Syarbaini, al-Iqna’, jld:2, hlm: 565).
Firman Allah s.w.t: Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban. (al-Kawthar: 2 ).
Hadis Rasulullah s.a.w daripada Aisyah r.a.h, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada satu amalanpun yang lebih disukai oleh Allah pada hari raya korban melainkan menumpahkan darah binatang dengan menyembelihnya, sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari akhirat bertemu tuannya (orang yang mengorbankannya) dengan tanduknya, kulitnya serta bulunya, dan sesungguhnya kebajikan (pahala) korban itu akan ditetapkan Allah kepadanya sebelum darah korban itu menitik ke bumi, oleh itu sucikanlah diri kamu dengan melakukan ibadah korban. (Riwayat Ibn Majah dan al-Tarmidzi ).
Pada pandangan al-Syawkani: Bagi mereka yang mampu adalah lebih baik baginya melakukan ibadah korban daripada bersedekah dengan duit tersebut, ini kerana hadis Rasulullah s.a.w menyebut tiada amalan yang paling disukai oleh Allah pada hari raya korban melainkan dia melakukan korban. (al-Syawkani, Nail al-Awthar: jld:8, hlm:618)
Adalah disunatkan menyembelih binatang korban oleh tuannya sendiri (orang yang melakukan ibadah korban). Namun timbul di sana beberapa masalah di antaranya binatang warna apakah yang afdal dikorbankan?.Sepanjang pembacaan saya dalam kitab-kitab muktabar dalam fikah dan hadis belum ada nas yang ditemui mengenai warna yang disaran dan dikira afdal warna tertentu. Kalau ada mungkin riwayatnya berpaksi kepada israiliyyat yang di bawa masuk daripada ahli kitab. Wallahu a’lam.
Apa yang perlu diberi perhatian dalam ibadah korban ialah maqsadnya iaitu matlamatnya, ini jelas dalam firman Allah: Daging dan darah binatang korban itu sama sekali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. (al-Haj: 37).
Jelas dalam ayat ini yang dilihat dan dinilai oleh Allah ialah keikhlasan seseorang di dalam mengabdikan diri kepada Allah melalui ibadah korban. Falsafahnya ialah dengan mengalirnya darah binatang di atas bumi terhakis jugalah hendaknya sifat-sifat mazmumah dari diri seseorang.
Empat perkara yang perlu diberi perhatian sebelum menyembelih binatang; 1- Tidak buta atau cacat penglihatan, 2- Tidak tempang sehingga mencacatkan pengerakan binatang korban, 3- Tidak sakit/ binatang yang berpenyakit, 4- Tidak terlalu kurus.
Ada enam perkara sunat yang perlu dipelihara ketika melakukan penyembelihan; 1- Menyebut nama Allah, 2- Selawat dan salam ke atas Rasulullah, 3- Menghadap kiblat, 4- Takbir tiga kali, 5- Doa supaya ibadat korban diterima Allah s.w.t, sekurang-kurang berdoa: “Ya Allah sesungguhnya binatang yang disembelih ini daripada engkau dan kami kembalikan kepada engkau, maka terimalah ia daripada kami.” Dan ditambah lagi dengan tiga perkara: 6- Menajamkan alat penyembelih, 7- Alat penyembelih yang sesuai serta boleh memutuskan urat pernafasan dan saluran makanan, 8- Membaringkan binatang sembelihan pada lambung kirinya, 9- Ikat kakinya.
Pembahagian dagingnya pula adalah lebih baik di bahagikan kepada tiga bahagian: sepertiga dari daging korban disedekahkan, sepertiga yang lain dimasak dan diberi makan dan sepertiga yang lain diambil oleh orang yang melakukan korban.
Namun adalah afdal jika dapat disedekahkan keseluruhannya dan orang yang melakukan korban itu mengambil sedikit untuk makan dengan ahli keluarganya. Adalah ditegah dan haram hukumnya menjual beli dengan daging korban atau apa-apa sahaja daripada binatang korban.
Firman Allah s.w.t: Maka makanlah kamu daripada daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah dan orang yang fakir miskin. (al-Haj: 28).
Setiap bahagian daripada binatang korban itu hendaklah dimanfaatkan, termasuklah kulitnya.
Mengenai bolehkah membuat korban untuk arwah keluarga, jawapannya boleh. Ini berdasarkan kepada pendapat Dr. Yusof al-Qardawi yang dipetik menyebut: Harus melakukan ibadah korban bagi arwah atau untuk si mati, sekiranya suasana masyarakat masih memerlukan daging.” (lihat; fatwa al-Qardawi di laman Islamonline.net)
Pada hari ini ada tempat-tempat yang tertentu masih memerlukan daging, justeru tidak salah jika seseorang ingin menyedekahkan kepada ibubapanya atau sanak saudaranya yang sudah tiada sebagai satu amalan kebajikan yang kita harapkan mereka di alam barzakh mendapat manfaatnya.

Sunday, November 26, 2006

Pasar sabtu taman semarak

Mulai semalam, pasar sabtu Taman Semarak Binjai beroperasi. Tapak sebelah masjid Binjai yang dipilih JKKK tentunya tidak menjadi soal kepada mereka. Di Chukaipun, tapak pasar minggunya di sebelah masjid (Sultan Ahmad). Soal samada pengunjung dan peniaga akan menghormati waktu maghrib dan isyak haruslah difikirkan.
Para peniaga pastinya senang hati kerana satu lagi peluang yang diwujudkan untuk mereka mencari rezeki. Tapi kesan sosial yang akan timbul selepas ini haruslah ditangani dengan cekap oleh pihak-pihak yang menganjurkannya. Khabarnya, selain dari Majlis Perbandaran Kemaman dan JKKK, KRT Taman semarak juga terlibat.
Bolehkah kita berharap agar perpaduan di taman akan bertambah baik dengan wujudnya pasar sabtu ini?

Sunday, November 19, 2006

masjid rakyat


Mari derma untuk masjid yang dibina oleh rakyat sepenuhnya. Masjid Pasir Minal, Kemaman - kini 75% siap. Kalau di lihat, lazimnya ia memerlukan jutaan ringgit kalau dibina dengan belanja kerajaan. Yang nyata masjid yang sudah memakan belanja RM300 ribu itu, masih memerlukan RM100ribu lagi. Mari usahakan bersama..

Friday, November 10, 2006

gamat di batu buruk?

Beribu timun laut terdampar di Pantai Batu Buruk?
Beribu-ribu ekor timun laut yang hanya hidup di pulau-pulau, ditemui di kawasan pantai Batu Burok di sini hari ini. Fenomena itu sungguh aneh dan tidak pernah berlaku di pantai itu sebelum ini, menurut beberapa penduduk di sini.

Sehubungan itu, Kamaruddin menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan timun laut tersebut sehingga kajian bagi menentukan spesies hidupan laut itu selesai.
"Orang ramai boleh simpan kerana ia bukan haiwan yang dilindungi. Tetapi jangan makan kerana kita tidak tahu sama ada ia selamat atau sebaliknya," katanya.
Ditanya bagaimana timun laut itu boleh ditemui di kawasan tepi pantai itu, beliau berkata ia mungkin disebabkan oleh ombak besar atau pencemaran yang berlaku di laut.
Apabila ditanya sama ada ia mungkin tanda amaran akan berlakunya tsunami, beliau berkata, "Ssssaya tidak pasti".
Sementara itu, seorang peniaga di pantai tersebut, Mohd Razali Musa, 40, berkata sejak berniaga di kawasan itu sejak lebih 10 tahun lepas, dia tidak pernah menemui timun laut itu di pantai berkenaan.
"Pagi tadi, ada beberapa orang datang ke kedai saya minta plastik. Bila saya tanya buat apa, mereka kata ada gamat di tepi pantai. Saya pun pergi ke tepi pantai dan ambil gamat itu," katanya.
Fenomena luar biasa seperti itu pernah berlaku di kawasan pantai Port Dickson, Negeri Sembilan tahun lepas apabila beratus-ratus ekor timun laut ditemui terdampar dan mati.
Di Port Dickson, timun laut yang ditemui itu dikenali sebagai "Beronok" oleh penduduk tempatan dan ia boleh dimakan. Sumber: BERNAMA.

Gamat atau Timun laut merupakan sejenis haiwan invertebrata (tanpa tulang belakang) laut yang meraih populariti dewasa ini di sebabkan khasiat dan nilai terapeutiknya yang mengkagumkan. Malah, kuasa penyembuhannya telah di agungkan dan di manfaatkan oleh nenek moyang kita sejak lebih 300 tahun dahulu.

Friday, October 20, 2006

selamat menyambut idulfitri

Selamat menyambut idulfitri kepada semua muslimin dan muslimat. Sambil itu hayatilah perjuangan membebaskan ALQUDS.

menanti saat dihalau

Tentera US kini menanti saat dihalau dari Iraq..
bagai yang dialaminya di Vietnam

Aspek pengawalan sistem matawang Dinar

Sat Sep 23, 06 04:04:43 PM Oleh Dr Rosli Yaakop

Muqaddimah
Asas sistem mata wang dalam Islam ialah sistem dwi-logam - emas (Dinar Emas) dan perak (Dirham). Sistem inilah yang diamalkan di dalam Daulah Islamiah bermula dari zaman Rasulallah Salallahu Alaihi Wassalam sehinggalah kepada berakhirnya Daulah Othmaniah pada awal abad ke-20 Masihi (1924).
Setelah dilupakan kira-kira tiga suku abad, kini sudah ada gerakan untuk menziarahi semula sistem ini dengan harapan ianya dapat dihidupkan kembali di negara-negara Islam.
Memang diakui bahawa sistem kewangan dunia hari ini tidak stabil. Sistem kadar pertukaran terapong atau dikenali juga sebagai sistem kadar pertukaran anjal terdedah kepada serangan spekulasi.
Rakyat negara-negara Asia Tenggara khasnya Thailand, Malaysia, Filipina, Indonesia dan Singapura tentunya tidak dapat melupakan serangan spekulasi ke atas mata wang mereka pada pertengahan tahun 1997 yang telah membawa kepada krisis kewangan yang terbesar di dalam sejarah moden negara-negara ini.
Krisis ini telah memiskinkan negara-negara berkenaan dengan nilai pertukaran mata wang masing-masing berbanding dengan Dolar Amerika Syarikat mengalami susut nilai sebanyak antara 30-60%, pendapatan negara dan pendapatan per kapita merosot, pasaran modal musnah dan inflasi memuncak. Negara-negara seperti Thailand, Indonesia dan Filipina terpaksa berhutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Proses pemulihan ekonomi memakan masa yang cukup panjang. Nilai pertukaran ringgit Malaysia, misalnya, yang telah jatuh dari sekitar USD1.00 = RM2.75 sebelum krisis kepada RM3.80 selepas krisis masih tidak mampu dikembalikan kepada kadar pertukaran asalnya dan mungkin tidak akan kembali ke tahap itu dalam tempoh ke hadapan yang boleh diduga. Amatlah tidak munasabah apabila ekonomi sudah bekembang pesat nilai matawang menjadi semakin murah.
Walaupun disedari bahawa di bawah sistem kadar pertukaran terapong yang diamalkan sekarang tiada negara yang merasa selamat dari serangan spekulasi, negara-negara di dunia tetap mengamalkan sistem ini kerana belum muncul lagi satu sistem alternatif yang lebih baik. Kemunculan gerakan 'kembali kepada Dinar Emas' sejak akhir-akhir ini berpotensi untuk menawarkan kepada dunia satu sistem kewangan yang lebih stabil.
Namun, kemunculan gagasan ini diperhatikan oleh masyarakat dunia khasnya dunia Barat dan kuasa-kuasa besar ekonomi dengan penuh kesangsian kerana ia dianggap sebagai satu unsur yang bersepadu dengan kemunculan semula fundamentalisme Islam. Ironinya, dunia Barat tahu bahawa sistem matawang dinar emas mampu membawa kestabilan kepada sistem kewangan dan ekonomi dunia - sejarahnya yang panjang telah membuktikan kebenaran ini - namun, realiti dan percaturan politik antarabangsa memenangkan pertimbangan bahawa sesuatu yang Islamik harus diletakkan di tempat duduk belakang.
Gerakan "kembali kepada Dinar Emas" diasaskan - harus diiktiraf - oleh Profesor Omar Ibrahim Vadillo, orang yang mengasaskan Pertubuhan Murabitun Antarabangsa di Afrika Selatan seawal tahun 1983 lagi. Gerakan ini amat dikenali di Eropah tetapi di negara-negara Islam ianya kurang terserlah.
Setelah berkali-kali beliau datang ke Malaysia dan menghuraikan mengenai sistem ini kepada pemimpin tertinggi Malaysia, akhirnya idea ini mendapat sokongan Tun Mahathir Mohamad (kini bekas Perdana Menteri Malaysia) dan Tun Mahathir telah mempromosikannya di kalangan negara-negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mulai tahun 2002.
Berita bahawa Malaysia akan mula menggunakan Dinar Emas Islam dalam penyelesaian pembayaran dua hala dengan rakan-rakan dagangnya mulai pertengahan tahun 2003 tersebar luas di seluruh dunia. Walau bagaimanapun berita sama ada idea ini telah terlaksana belum lagi kedengaran. Sebaliknya, apa yang diketahui ialah ada tanda-tanda kurang minat di pihak pengganti Tun Mahathir untuk terus mempelopori dan mengembangkan gagasan ini.
Komen yang biasa oleh pemerhati-pemerhati ialah: 'Mahathir announced that Malaysia was to start using the dinar in mid-2003, but when in 2003 Abdullah Ahmad Badawi replaced him as Prime Minister of Malaysia, his idea stalled.' (lihat 'Islamic Dinar' di dalam Wikipedia, the Free Encyclopedia).
Malah, mulai awal tahun 2004 Malaysia telah kembali kepada sistem kadar pertukaran terapung menggantikan sistem kadar pertukaran dikekang yang telah diamalkan sejak tahun 1998 sebagai langkah menepis serangan spekulasi. Ini sekali lagi mendedahkan Ringgit Malaysia kepada serangan spekulasi.
Ini boleh dianggap satu langkah ke belakang dalam usaha untuk melindunigi (to shield) ringgit Malaysia dari serangan spekulasi yang mungkin sekali lagi boleh memiskinkan kita seperti mana yang berlaku dalam tahun 1997-98. Spekulator boleh memusnahakan ekonomi dalam masa yang singkat (overnight).
Mata wang di dalam Islam dikenali sebagai 'wang komoditi' (commodity money) kerana nilai mukanya (its face value) sama dengan nilai intrinsik (its intrinsic value), iaitu, nilainya sebagai komoditi. Ini berbeza dengan wang kertas yang dipakai hari ini - nilai muka wang kertas biasanya jauh lebih besar daripada nilai kertas itu sendiri. Dari segi hukum, Islam menerima dan mengamalkan wang komoditi sahaja. Nilai wang komoditi ini ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran bagi komoditi berkenaan. Komoditi yang ditetapkan dalam Islam sebagai wang ialah emas dan perak.

Sistem Penyelesaian Pembayaran Berasaskan Dinar Emas
Dalam tahun 2002, dua persidangan penting berlangsung di Malaysia melibatkan perwakilan daripada Pertubuhan Persidangan Islam atau Organisation of Islamic conference (OIC). Persidangan pertama mengenai 'Stable and Just Global Monetary Systems' (Sistem Kewangan Sejagat yang Stabil dan Adil) diadakan pada bulan Ogos dan disusuli dengan persidangan mengenai 'The Gold Dinar in Multilateral Trade' (Dinar Emas Dalam Perdagangan Pelbagai Hala) dalam bulan Oktober.
Dalam persidangan pertama telah diumumkan bahawa Dinar Emas akan digunakan sebagai alat penyelesaian pembayaran dua hala antara Malaysia dengan negara-negara Islam yang bersetuju dengan Malaysia untuk menggunakan sistem penyelesaian pembayaran dua hala ini mulai pertengahan tahun 2003. Matalamat jangka panjang ialah untuk menjadikan Dinar Emas sebagai alat penyelesaian pembayaran pelbagai hala di kalangan negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam.
Di peringkat kerajaan, gagasan untuk 'Pulang kepada Dinar Emas' ini dipelopori oleh Tun Mahathir Mohamad yang pada ketika itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Beliau bersara pada bulan November 2003 setelah 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Namun, adalah dipercayai bahawa 'orang teknikal' di belakang gagasan ini ialah Tan Sri Nor Mohamed Yackop, Menteri Kewangan Kedua dalam kabinet Perdan Menteri Abdullah Badawi kini.
Ini memandangkan bahawa gagasan ini dibina di sekitar perjanjian pembayaran dua hala dan pelbagai hala yang beliau mulakan pada akhir tahun 1980an semasa bertugas di Bank Negara Malaysia. Matawang penyelesaian di dalam perjanjian berkenaan ialah Dolar Amerika Syarikat (USD). Dalam gagasan terkini 'Kembali kepada Dinar Emas' dicadangkan Dinar Emas dijadikan sebagai matawang penyelesaian menggantikan USD.

Apakah perkembangan terkini gagasan 'Kembali kepada Dinar Emas' ini?
Jude Wanniski, seorang pemerhati perkembangan pasaran kewangan dan pakar 'supply-side economics' telah membuat kenyataan berikut mengenai perkembangan gagasan 'Kembali kepada Dinar Emas' ini: "But after a few speeches and press releases on this subject, he (Tun Mahathir Mohamad) has disappeared, practically dropping out of sight." (lihat 'Where Is That Gold Dinar?' oleh Jude Wanniski di dalam Aljazeera.net, 24 November 2004). Kenyataan ini meringkaskan status gagasan, iaitu, tiada kesinambungan, tiada minat untuk mengembangkannya dan seolah-seolah telah dilupakan sama sekali oleh pemimpin baru Malaysia.
Gagasan Tun Mahathir sebenarnya belum sampai ke tahap untuk mengembalikan Dinar Emas sebagai matawang yang berfungsi sebagai alat 'perantaraan pertukaran' (a medium of exchange) tetapi hanyalah sebagai unit akaun untuk penyelesaian pembayaran antarabangsa di antara bank-bank pusat (central bank) Negara-negara OIC yang berdagang antara satu sama lain.
Modus operandi daripada penggunaan Dinar Emas ini dikemukakan oleh Nor Mohamed Yackop pada persidangan dalam bulan Ogos 2002 dengan mengambil perdagangan dua hala di antara Arab Saudi dan Malaysia sebagai contoh seperti berikut: Pengeksport Malaysia akan di bayar di dalam Ringgit Malaysia (RM) oleh Bank Negara Malaysia bila jatuh tarikh pembayaran untuk eksport berkenaan. Pada masa yang sama pengimport juga akan membayar Bank Negara nilai import berkenaan dalam nilai RM (RM equivalent). Bank Pusat Arab Saudi juga menggunakan mekanisma yang sama.
Katalah penyelesaian pembayaran dibuat tiap-tiap tiga bulan sekali. Pada tarikh jatuh kitaran tiga bulan ini, jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi bermjulah 2 juta Dinar Emas dan jumlah eksport Arab Saudi ke Malaysia pula berjumlah RM1.8 Dinar. Ini bermakna, dalam kitaran 3 bulan ini Arab Saudi mengalami defisit perdagangan dengan Malaysia sebanyak 0.2 juta Dinar Emas. Maka. Bank Pusat Arab Saudi kena bayar Bank Pusat Malaysia sebanyak 0.2 juta Dinar Emas.

Bagaimanakah penyelesaian pembayaran boleh dibuat?
Katakan Bank Pusat Arab Saudi ada emas di dalam Custodian's Accaount miliknya dengan Bank of England. Bank Pusat Malaysia juga memiliki akaun yang serupa di Bank yang sama. Penyelesaian pembayaran terlaksana bilamana Bank Pusat Saudi memindahkan emas seberat 0.2 juta auns dari Custodian?s Account milikinya di Bank of England kepada Custodian's Account milik Bank Pusat Malaysia di Bank yang sama. Kalau Malaysia mengalami defisit, ia akan memindahkan Dinar Emas ke akaun Bank Pusat Arab Saudi.
Perkara penting yang perlu diperhatikan di dalam sistem penyelesaian pembayaran ini ialah hanya jumlah yang relatif kecil Dinar Emas diperlukan untuk menyokong jumlah nilai perdagangan yang relatif besar: 0.2 juta auns emas (bernilai 0.2 juta Dinar Emas) menyokong jumlah perdagangan sebesar 3.8 Dinar Emas, iaitu, 19 kali ganda.
Idea Tun Mahathir Mohamad sebenarnya merupakan satu cadangan untuk kembali kepada Sistem Bretton Woods atau dikenali juga sebagai sistem piawaian emas. Sistem Bretton Woods diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua hasil pertemuan Negara-negara Bersekutu di Bretton Woods, Amerika Syarikat. Mereka bersetuju mengekang kadar pertukaran matawang antarabangsa kepada emas bagi memudahkan perdagangan antarabangsa. Nilai dolar Amerika misalnya, ditetapkan pada USD1.00 = 1/35 auns emas. Ini bermakna sesiapa sahaja yang menyerahkan USD1.00 kepada Federal Reserve dan mahukan emas, ia akan diberi emas seberat 1/35 auns. Juga emas akan bertukar tangan di antara negara-negara dalam 'book entries' dan emas fizikal.
Walau bagaimanapun, sistem ini telah dimusnahkan oleh Presiden Nixon mulai 15 Ogos 1971 bila mana nilai pertukaran USD diapongkan, iaitu, membiarkan nilai pertukaran ditentukan oleh kuasa penawaran dan permintaan tanpa sandaran emas. Hari ini tiada lagi matawang di dunia yang disokong oleh emas (gold-back currencies).
Apa yang dipanggil sebagai regim kadar pertukaran anjal (flexible exchange rate regime) ini terus diamalkan sehingga hari ini. George Soros dalam penelitiannya mendapati bahawa 'freely floating exchange rates are cumulatively destabilising.' Beliau merumuskan: 'Exchange rate misalignments have become a major source of disruption for the world economy. They make it unsafe to make long-term investments, they endanger the value of investments already made, and they are at the root of protectionist sentiment in the United States. The market mechanism fails to bring currencies back into alignment. On the contrary, speculation tends to exaggerate currency moves. As we have seen, the system of freely floating currencies is cumulatively distabilising.' (lihat George Soros, 'The Alchemy of Finance,' John Wiley and Son, New York, 1987). Beliau telah mengambil manfaat dari ketidakstabilan ini dengan berspekulasi di dalam pasaran matawang antarabangsa dan telah berhasil meraih keuntungan besar.
Apa penyelesaiannya? Goerge Soros menawarkan beberapa penyelesaian termasuklah mengamalkan polisi 'target zones' (menentukan jeda pergerakan kadar pertukaran), kembali kepada sistem kadar pertukaran tetap (fixed exchange rate system) tanpa atau dengan piawaian emas, mewujudkan satu matawang antarabangsa dan pulang kepada emas kerana kata beliau: 'Gold has served as a stabilizer throughout history and it may play that role again in one form or another...' (lihat 'Alchemy of Finance').
Jelas bahawa di sana ada sokongan kepada gagasan 'kembali kepada Dinar Emas' sebagai jalan keluar kepada permasalahan yang menghantui sistem kewangan dunia hari ini. Namun, IMF melarang mana-mana negara ahlinya dari menggunakan emas sebagai matawang.

Apa Dia Dinar Emas Islam?
Gerakan 'kembali kepada Dinar Emas' memilih untuk kembali mengguna dan mengekalkan piawaian yang telah ditetapkan 1400 tahun dahulu oleh Omar Al-Khattab, Khalifah Islam Kedua (632 Masihi) seperti berikut:
* Dinar emas Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 4.25 gram emas 22 karat (917) bagi satu Dinar.
* Dirham Islam mempunyai berat khusus, iaitu, 3.0 gram perak tulin bagi satu Dirham.
* Syedina Omar Al Khattab juga menetapkam bahawa berat 7 Dinar bersamaan berat 10 Dirham. Disebut juga berat 10 Dirham bersamaan berat 7 mithqal emas (berat Dinar). Ini bermakna kadar pertukaran di antara Dirham dan Dinar emas ialah satu Dirham bersamaan 0.7 Dinar.
* Berat satu mithqal emas bersamaan 72 butir barley. Maka berat satu Dirham bersamaan 50.4 butir barley.
* Harga Dinar Emas dan Dirham ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran.
Piawaian ini dikenali sebagai 'Piawaian Omar Al Khattab' dan piawaian inilah yang berkuatkuasa dari zaman beliau sampailah kepada Kahlifah terakhir kerajaan Othmaniah (1924).

Kegunaan Dinar Emas Islam
Dalam Daulah Islamiah Dinar Emas adalah alat perantaraan pertukaran (a medium of exchange). Ia adalah wang (money) dan ia adalah matawang (currency). Wang digunakan untuk membuat bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dibeli. Wang diteirma sebagai bayaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dijual. Wang yang digunakan untuk jual-beli dikenali sebagai 'legal tender.'
Selain dari berfungsi sebagai alat perantaraan pertukaran, wang juga berfungsi sebagai alat pengukur nilai (measurement of value), alat bayaran tertangguh (instrument of deferred payment), iaitu, alat pembayaran hutang, unit akaun (unit of account) dan alat penyimpan nilai (store of value). Kepada fungsi ini boleh ditambah dua lagi fungsi, iaitu, alat spekulasi dan alat empayar (tool of empire).
Dalam Daulah Islamiah, Dinar Emas juga adalah alat pembayaran zakat, mahar perkahwinan dan alat pembayaran denda berkaitan kesalahan jenayah di bawah hukum-hukum Islam seperti hudud dan lain-lain. Dengan ketiadaan Dinar Emas, semua ini diselesaikan dengan wang kertas dan di Malaysia tentulah dengan ringgit Malaysia. Untuk menentukan semua penyelesaian ini memenuhi ciri-ciri dan tuntutan hukum dan Syariat Islam, maka 'kembali kepada penggunaan matawang Dinar Emas Islam' adalah satu gerakan yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Gagasan yang hendak dilaksanakan oleh Tun Mahathir ialah menjadikan Dinar Emas sebagai alat penyelesaian pembayaran perdagangan antarabangsa bagi menggantikan dolar Amerika Syarikat. Ini tidak termasuk gagasan untuk menggunakan Dinar Emas sebagai wang dan matawang bagi menggantikan wang kertas dan koin, iaitu, dalam kontek Malaysia, wang kertas ringgit Malaysia yang dipakai sekarang. Tiada tanda-tanda yang boleh menunjukkan bahawa Malaysia akan menggunakan Dinar Emas dan Dirham bagi menggantikan ringgit Malaysia. Lagi pun di sana adalah larangan oleh Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF) yang tidak membenarkan mana-mana negara di dunia (yang menjadi ahli IMF) menggunakan emas sebagi matawang. Mungkin inilah yang menjadi halangan besar untuk negara-negara Islam menghidupkan kembali sistem Dinar Emas Islam.
Perlu diingat bahawa hanya satu matawang yang sah diperlakukan (legal tender) di Malaysia, iaitu, ringgit Malaysia. Lain-lain matawang ? semua matawang selain daripada ringgit Malaysia ? tidak sah diperlakukan dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai perataraan jual-beli dalam mana-mana wilayah Malaysia. Kalau ada mana-mana pihak menggunakan Dinar Emas dan Dirham di Malaysia sebagai alat pertukaran (medium of exchange) maka perbuatan itu menyalahi undang-undang negara Malaysia.
Jika kita memiliki Dinar Emas, maka Dinar Emas itu hendaklah ditukarkan kepada ringgit Malaysia dahulu dan ringgit itulah yang digunakan untuk berjual-beli. Kadar pertukaran di antara Dinar Emas ialah harga semasa (spot price) emas di dalam pasaran emas, tempatan atau antarabangsa. Kalau piawaian Omar Al-Khattab digunakan maka satu Dinar Emas beratnya bersamaan 4.25 gram. Kalau pada hari ini (20 September 2006) harga emas di Pasaran Logam London bersamaan RM100.00 per gram, maka kadar pertukaran 1 Dinar Emas bersamaan RM425.00. Kadar pertukaran ini akan berubah-ubah mengikut harga pasaran emas.
Ada saranan supaya dibuat piawaian baru di mana satu Dinar Emas bersamaan berat satu auns emas 24 karat memandangkan bahawa harga emas antarabangsa hari ini disebut dalam USD per troy auns emas 24 karat. Ini akan memudahkan pengiraan kadar pertukaran di antara Dinar Emas dengan mana-mana matawang di dunia. Misalnya, kalau pada hari ini (20 September 2006) harga se auns emas ialah USD300.00 (spot price), maka satu Dinar Emas bersamaan USD300.00. Kadar pertukaran Dinar Emas dengan semua matawang lain boleh dikira mengikut kadar pertukaran semasa (spot price) atas 'real-time basis.'
Sebenarnya menentukan berat Dinar Emas dan Dirham dalam gram atau auns merupakan pilihan. Proses conversion dari auns ke gram dan sebalik sudah cukup untuk menyelesaiakan perkiraan seperti berikut:
* Satu Dinar Emas = 4.25 gram 22 karat emas.* Satu kilogram emas = 32.15 troy auns 24 karat emas.* Atau 1000 gram emas = 32.15 troy auns 24 karat emas.* Maka Satu gram emas = 0.03215 troy auns 24 karat emas.* Maka Satu Dinar Emas = 4.25 X 0.917 (X 0.03215) = 0.1253 troy auns.* Kalau harga spot emas = 438.9 euro per auns,* Maka harga Satu Dinar Emas = 438.9 X 0.1253 = 55 euro* Atau, kadar conversion = 483.9/55 = 7.98 Dinar/auns.
Formula untuk mengira conversion rate adalah seperti berikut:
* (31.1034768 g/oz)/((4.25g/dinar)(22k/24k)) = 7.98 dinar/oz.
Dalam hukum Islam tiada konsep wang kertas dalam pengertian wang kertas yang kita ketahui hari ini, iaitu, wang kertas yang merupakan surat hutang atau surat janji mahu bayar hutang atau surat IOU. Oleh yang demikian, pengertian sebenar kepada 'menghidupkan semula sistem wang Dinar Emas Islam' ialah menggantikan wang kertas dan koin yang beredar di dalam ekonomi sekarang dengan wang Dinar Emas dan wang Dirham yang benar-benar dibuat dari, masing-masing, emas dan perak. Kalau hari ini kita membawa wang kertas ringgit Malaysia dan koin di dalam saku dan dompet kita, maka dengan hidupnya kembali matawang Dinar Emas Islam, yang kita bawa dalam saku dan dompet kita ialah emas dan perak secara fizikal.
Wang simpanan kita di dalam akaun bank kita pula benar-benar emas dan perak. Kalau kita ada baki 1000 Dinar Emas di dalam akaun kita di bank maka di dalam peti kebal bank itu ada emas seberat 4250 gram di bawah nama kita. Bila kita mengeluarkan simpanan bakinya akan turun dan bila kita tambah simpanan, bakinya akan naik.

Sudahkah ada mana-mana negara Islam yang menggunakan Dinar Emas Islam sebagai matawang menggantikan wang kertas?
Belum ada mana-mana negara Islam yang mengamalkan sistem matawang seperti ini setakat hari ini. Saranan Malaysia untuk menyelesaikan pembayaran perdagangan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan kongsi perdagangannya di kalangan negara ahli OIC belum sampai ke tahap mewujudkan Dinar Emas dan Dirham Perak Islam yang beredar dalam ekonomi sebagai legal tender atau alat perantaraan pertukaran. Tahap inilah dilarang oleh IMF.
Dinar Emas Islam telah dilancarkan di Amiriyyah Arab Bersatu (UAE) pada 7 November 2001 oleh Islamic Mint bergabung tenaga dengan Thomas Cook Rostamani Exchange Company dan Dubai Islamic Bank. Setakat yang diketahui, inilah Dinar Emas Islam yang pertama dilancarkan dalam sejarah dunia moden melalui saluran yang diiktiraf secara rasmi.
Dinar Emas Islam ini boleh diperolehi dari cawangan-cawangan Thomas Cook Rostamani Exchange Company dan Dubai Islamic Bank di kesemua 7 negara Amiriyyah Arab Bersatu.
Sejauh yang diketahui Dinar Emas Islam yang dilancarkan di UAE itu bukanlah wang tetapi hanyalah sebagai alat pelaburan. Juga ia dilihat sebagai comemorative coin dan bernilai kepada sesiapa jua yang hobinya menyimpan koin termasuk koin emas dan perak. Bagaimana pun pengenalan semula Dinar emas Islam ini sudah cukup bermakna kalau ada pihak yang akan menggunakannya bagi membayar zakat dan mahar perkahwinan.
Printis gerakan 'kembali ke Dinar Emas Islam,' Umar Ibrahim Vadillo telah menubuhkan syarikat urusniaga Dinar Emas bernama e-dinar Ltd. berpengkalan di Labuan. Syarikat e-dinar ialah satu sistem pertukaran yang membolehkan pemindahan emas dan perak secara elektronik di antara akaun. Setiap akaun ada baki dinar emas dan dirham secara fizikal. Kalau baki dalam akaun ialah 1000 Dinar Emas Islam maka di dalam bilik simpanan selamat disimpan emas seberat yang bersamaan dengan 1000 Dinar. Kalau satu Dinar beratnya 4.25 gram, maka di dalam peti selamat ada disimpan 4250 gram emas.

Dinar Emas Kelantan
Ada maklumat yang menyatakan Dinar Emas digunakan secara persendirian (private) di lebih 22 buah negara. Dinar Emas sekarang ditempa (minted) di empat negara. Juga di sana sudah wujud perniagaan jual beli Dinar Emas dan Dirham melalui internet. Oleh itu pelancaran Dinar Emas Kelantan selaras dengan perkembangan ini.
Kelantan mengikut bukan memimpin. Apa yang diumumkan oleh YB Dato' Paduka Husam Musa, Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat kelantan ialah untuk menawarkan Dinar Emas dan Dirham sebagai alat tabungan dan pelaburan, bukan, sebagai legal tender. Reaksi gelabah dan negatif Perdana Menteri Malaysia amat tidak diduga. Usaha ini harus dilihat sebagai langkah untuk menjelmakan impian Tun Mahathir Mohamad ke alam nyata.
Penerbitan Dinar Emas Kelantan bukan sebagai alat perantaraan pertukaran (medium of exchange). Ia tidak diterima untuk membayar barang-barang yang kita beli di pasar atau di kedai. Juga tiada penjual yang boleh menerima bayaran dalam bentuk Dinar Emas Kelantan bagi barangan yang dijual. Sesiapa yang memiliki Dinar Emas Kelantan maka hendak ianya ditukarkan dahulu kepada ringgit Malaysia mengikut harga emas semasa (spot price) berdasarkan formula yang diterima pakai apabila hendak berjual beli.
Maka ringgit itulah yang digunakan untuk membeli barangan dan diterima apabila menjual barangan. Hanya ringgit Malaysia yang diiktiraf sebagi legal tender di dalam wilayah Malaysia. Matawang lain tidak sah digunakan sebagai alat pertukaran.
Maka, Dinar Emas Kelantan bolehlah digunakan sebagai alat simpanan (savings instrument), membayar zakat, membayar mahar perkahwinan dan sebagai hadiah (untuk ulang tahun perkahwinan, hari jadi, kakitangan cemerlang dan sebagainya). Dalam Daulah Islamiah, ia boleh digunakan untuk membayar denda di bawah pelbagai hukum Islam. Disini dijelaskan dua keguanaan utama.

* Alat Simpanan
Simpanan atau tabungan adalah lebihan pendapatan di atas perbelanjaan. Kalau pendapatan kita RM10,000 sebulan dan kita berbelanja RM9,000 sebulan maka kita ada lebihan sebanyak R1,000. Bagaimanakah hendak menyimpan lebihan pendapatan ini?
Banyak pilihan. Kita boleh menyimpan di bawah bantal tanpa mendapat apa-apa pulangan malah terhakis pula nilai atau kuasa belinya oleh inflasi dan bayaran zakat (kalau cukup syarat-syaratnya), mendepositkan di dalam bank dalam bentuk akaun simpanan, akaun deposit berjangka, dalam unit amanah saham dan pelbagai lagi bentuk pelaburan yang menawarkan konfigurasi risk-reward yang berbeza.
Bila wujud Dinar Emas Islam, bolehlah wang lebihan RM1,000 itu dilaburkan di dalam Dinar Emas. Risikonya ialah harga emas boleh naik atau turun atau kekal, samalah seperti melabur dalam komoditi-komoditi yang lain. Bukti empiris menunjukkan bahawa harga emas cukup stabil dalam jangka panjang dan bebas dari turun naik yang ekstrim dalam jangka pendek dan sederhana. Ia cukup adil sebagi pelindung kuasa beli.

* Membayar Zakat
Dari segi hukum, zakat hanya boleh dibayar dalam "tangible merchandise." Dari segi sejarah Daulah Islamiah, zakat sentiasa dibayar dalam Dinar Emas dan Dirham. Kerajaan Othmaniah sehinggalah kepada Khalifah ynag terakhir tidak membenarkan zakat dibayar dengan wang kertas. Fatwa Sheikh Mohammad Alish (1802-1881), Qadi Besar Mazhab Maliki selalu disebut dalam hal ini.
Menurut beliau kalau kita membayar zakat dengan wang kertas (fulus) maka hanya nilainya sebagai merchandise ('ain), iaitu, nilai kertas itu sebagai kertas yang diambil kira. Nilai nominal wang kertas itu tidak relevan sebagai bayaran zakat.
Oleh itu, dengan adanya Dinar Emas Kelantan, bolehlah zakat dibayar dengan Dinar Emas dan Dirham perak. Kesimpulan
Dunia Islam dengan penduduknya melebihi 1.3 bilion umat nampaknya mahu kembali kepada sistem matawang dwi-logam hasil dari kesedaran bahawa khazanah umat Islam dari hasil penjualan minyak khasnya, yang tersimpan di institusi kewangan barat dalam bentuk wang kertas IOU boleh, pada bila-bila masa, bertukar menjadi debu. Juga di bawah sistem kadar pertukaran terapong yang diamalkan dunia sekarang, serangan spekulasi ke atas mata wang seperti yang telah berlaku dalam tahun 1997-98 boleh memiskinkan mana-mana negara.
Oleh itu gerakan 'kembali kepada Dinar Emas Islam' patut dilihat secara positif terutamanya bila dilihat di sana ada bukti yang jelas - empiris dan sejarah - bahawa harga kedua logam ini stabil dalam jangka panjang dan turun naiknya tidak ekstrim dalam jangka pendek dan sederhana.
Bermula dengan mengeluarkan Dinar Emas Islam dan Dirham sebagai alat pelaburan adalah satu langkah yang strategik dalam usaha menyelamatkan nilai harta dari dihakis inflasi dan devaluasi matawang.
Dhaka,17 September 2006

Wednesday, October 11, 2006

nuzul quran, mengapa cuti?

Semalam sebahagian umat islam malaysia diberi cuti, kecuali di negeri tertentu. TV3 buat tinjauan rambang - kebanyakan tak tahu apa dia 'nuzul quran'.
Pengiktirafan diberi sedemikian rupa pada alquran (cuti umum) tetapi apakah ajarannya turut diiktiraf sepenuhnya?
Kesempatan cuti diguna untuk keluar shopping persiapan syawal, bukannya untuk mengkaji/ mengaji dan menginsafi tuntutan alquran.

Monday, October 09, 2006

mataharipun bagai berpuasa

Di KL khabarnya jerebu teruk. Di Kemaman (Taman Semarak Binjai) matahari tampil suram tapi tetap indah, bagaikan turut berpuasa..

Tuesday, October 03, 2006

Hamas-Hizbullah pecah tembok mazhab

Wed Sep 27, 06 09:18:25 AM
Oleh Mohd Rashidi Hassan
BARU-BARU ini Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ditemani Ustaz Idris Ahmad dan Dtao' Dr Mahfudz Mohamed berkunjung ke Iran, Syria dan Lubnan. Mereka mewakili PAS untuk menghadiri persidangan Taqrib di Iran, melawat dan menemui pemimpin Hizbullah di Lubnan serta bertemu dengan pemimpin Hamas di Syria. Ikuti temubual Tuan Guru Abdul Hadi dengan Mohd Rashidi Hassan di pejabatnya di Kuala Lumpur, 13 September.

HARAKAH: Boleh Tuan Guru maklumkan tentang lawatan ke Iran, Syria dan Lubnan baru-baru ini?
TUAN GURU ABD HADI: Di Iran menghadiri Muktamar Majma' Taqrib yang diadakan setiap tahun. Tahun ini bertemakan 'Kedudukan Umat Islam di Negara-negara Bukan Islam; Permasalahan, Penyelesaian dan Kewajipan. Muktamar dihadiri wakil-wakil pemimpin Islam sedunia dari benua Asia, Eropah, Australia, Afrika sehingga Amerika Utara dan Amerika Latin. Jumlahnya ratusan orang.

Saya berada tiga hari di Tehran, muktamar dirasmikan Menteri Negara, juga ada program khusus dengan Imam Khamenei. Beliau bercakap mengenai isu Lubnan dan Palestin, termasuk soal Iraq, Afghanistan dan saranan untuk berdepan Amerika Syarikat.

Ucapan Tuan Guru dalam perhimpunan itu?
Saya berucap menyentuh tema yang ditetapkan. Saya menegaskan umat Islam di negara bukan Islam saja berdepan masalah yang mesti diselesaikan. Dalam masa sama mereka mesti menyampaikan mesej dakwah. Sebagaimana orang Islam di zaman dahulu, contohnya di Asia Tenggara, mereka datang ke wilayah bukan Islam, datang untuk berniaga dan menyampaikan seruan Islam. Matlamatnya ialah dakwah yang berjaya mengislamkan sebahagian besar Asia Tenggara. Seperti juga di Bosnia mengikut sejarahnya dan beberapa negara di Benua Afrika.

Penegasan Tuan Guru?
Saya tegaskan, umat Islam patut melaksanakan kewajipan tersebut. Saya melihat mereka (di negara bukan Islam) ini masih ada ruh hubungan yang erat dengan Islam, semangat dan amalan-amalan Islam masih lagi dipertahankan, bahkan dalam isu-isu antarabangsa yang berkaitan orang Islam seperti isu Palestin dan Lubnan. Umat Islam bangkit di negara bukan Islam dan menganjurkan demonstrasi. Mereka berani turun ke padang dan berjaya menarik orang bukan Islam menyertai demo.

Apakah ini suatu kejayaan?
Ya, ini suatu kejayaan yang besar dari segi politik, tetapi seboleh-bolehnya dari segi dakwahnya juga mesti diberi penekanan.

Apa peranan OIC dan NGO Islam boleh buat untuk capai matlamat itu?
Sepatutnya organisasi Islam sama ada berbentuk politik seperti OIC ataupun NGO Islam di peringkat antarabangsa perlu diselaraskan. Membantu menyelaraskan kegiatan pertubuhan Islam dan pusat-pusat Islam di negara bukan Islam.

Ada resolusi?
Banyak. Alhamdulillah beberapa cadangan yang saya sebutkan tadi dimasukkan dalam resolusi.

Bagaimana pula lawatan ke Lubnan?
Saya berada di Lubnan selama tiga hari. Hari pertama melawat tempat-tempat mangsa serangan di selatan Beirut. Dan sebelah petangnya menjadi tetamu kepada Tajammuk Ulama Lubnan, ia merupakan gabungan ulama Sunni dan Syiah.

Pada hari kedua saya melawat tempat-tempat lain yang mengalami kemusnahan di Beirut. Saya dijemput berkhutbah di sebuah masjid Kulliyyah Dakwah di Beirut, kemudiannya ditemuramah TV al-Manar selama satu jam. Saya juga mengadakan pertemuan dengan Sheikh Faisal Malawi, Setiausaha Agung Jamaah Islamiah atau Ikhwan Muslimin Lubnan.

Apa yang Tuan Guru sebutkan dalam temuramah al-Manar?
Saya menyebut bahawa kedatangan saya ke Lubnan untuk mengucapkan tahniah kepada kejayaan Hizbullah dan menyatakan simpati kita. Masalah Palestin dan Lubnan adalah masalah yang tidak boleh dipisahkan dari umat Islam seluruh dunia.

Saya menyebut adalah mustahil dan tidak boleh diterima akal, Israel menyerang begitu rakus hanya kerana seorang tawanan di Gaza dan dua di selatan Lubnan sehingga sanggup mengorban jumlah yang begitu besar tenteranya (Israel), ramai yang cedera dan kerugian yang begitu banyak sehingga berbilion USD (di Israel). Pada saya mesti mereka mempunyai matlamat yang lebih besar dan Hizbullah berjaya menyekat matlamat mereka itu.

Tuan Guru ada sentuh tentang Hamas dan Hizbullah?
Saya menyatakan adanya hubungan antara Hizbullah dengan Hamas dan rakan-rakan di Palestin - bila seluruh negara Arab dan negara umat Islam mengecewakan kerajaan Hamas di Palestin, setelah mereka terkepung begitu lama, dan Hizbullah bertindak - menandakan bahawa tidak ada perbezaan mazhab antara Sunni dan Syiah dalam menghadapi isu ini. Ini menjadi arah kepada titik perpaduan di kalangan Sunni dan Syiah.

Ada lagi pertemuan lain?
Saya juga berjumpa Mufti Lubnan, Dr Kabbani dan Ayatollah Mohd Hussain Fadhullah, kemimpin tertinggi Syiah di Lubnan, kemudian saya berjumpa Sheikh Mohd Naim Qasim, timbalan Sheikh Hassan Nasrallah. Sheikh Hassan atas sebab-sebab keselamatan tidak boleh keluar dari tempatnya dan kita pun tidak boleh pergi ke tempat itu.

Jumpa Sheikh Naim di mana?
Kami berjumpa Sheikh Naim di Beirut, beliau datang ke Beirut dari luar dengan kawalan keselamatan yang amat ketat.

Apa yang beliau nyatakan?
Dia mengucapkan terima kasih dan menyampaikan salam Sheikh Hassan. Dia mengucapkan terima kasih kepada PAS dan rakyat Malaysia yang menunjukkan simpati dan sokongan.

Bagaimana lawatan di Syria?
Di Syria saya berjumpa dengan Khalid Mash'al, pengerusi politik Hamas. Beliau pemimpin tertinggi Hamas, kedudukannya sama dengan Sheikh Hassan Nasrallah.

Natijah peperangan yang berlaku?
Ia memecahkan kesunyian isu Palestin, akibat dikongkong negara-negara Arab yang dibelenggu Amerika dan kuasa-kuasa Barat yang berpihak kepada Israel. Dalam interbiu dengan al-Manar saya kata, saya berasa malu dan sedih kerana persidangan Menteri Luar Arab yang diadakan di Beirut mendapat kebenaran terlebih dahulu Israel. Kapal terbang hendak mendarat dan sebagainya, semuanya mendapat kebenaran Israel.

Rancangan PAS selepas ini?
Kita menunggu maklumat berikutnya daripada gerakan Islam di Lubnan sama ada Jamaah Islamiah, Tajammuk Ulama dan Hizbullah, kita akan terus menyampaikan segala bantuan mengikut kemampuan.

Kita juga akan terus berusaha memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia, supaya tidak dikelirukan media Barat. Wallahua'lam.

Kerajaan perlu ambil alih kilang gula

Mon Sep 25, 06 08:26:23 AM
Oleh Siti Nurazizah

Jika kerajaan melalui Khazanah Nasional boleh mengambil alih kepentingan pihak tertentu di dalam Pantai Holding dengan alasan menjamin kepentingan negara kerana syarikat tersebut juga menjalankan perkhidmatan perbekalan sektor perubatan negara, mengapa tidak pengambilalihan terhadap kilang gula?

Mungkin pendapat saya ini agak tidak relevan. Tetapi untuk menjamin bekalan gula di pasaran yang masih tidak di jual oleh peruncit kerana tiada bekalan, eloklah kerajaan mengambil suatu tindakan yang drastik untuk mententeramkan kegelisahan masyarakat lebih-lebih lagi beberapa musim perayaan akan menjelang tiba.

Rakyat sebenarnya sudah muak dengan alasan demi alasan, kenyataan akhbar demi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang sebenarnya beliau sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan gula.

Bermula dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan gula kasar, pengilang dengan bijak mengeluarkan gula halus dengan kapasiti pengeluaran yang tinggi ketika itu dengan tujuan untuk meraih untung berlipat kali ganda dari biasa kerana harga ditentukan oleh kilang dan bukannya oleh kerajaan.

Apabila gula halus dijadikan salah satu barang kawalan negara, pengilang masih berdolak dalik tentang bekalan dengan mengatakan bekalan gula ke seluruh negara mencukupi. Walhal gula kasar masih dicatu untuk pasaran tempatan kerana permintaan yang tinggi dari negara jiran. Untuk eksport, harga ditetapkan oleh pengilang dan bukannya oleh kerajaan.

Beberapa persoalan timbul di fikiran rakyat jelata. Apakah menteri dan kementeriannya melindungi dan menjaga kepentingan pengilang atau menjaga hal ehwal rakyat sebagai pengguna?. Mengapa kerajaan tidak menyekat eksport gula kasar ke negara jiran yang begitu ketara seolah-olah tidak adanya kawalan dan had tertentu?. Apakah agensi kerajaan yang lain dan pihak yang berkuasa tiada kuasa untuk menyekat penjualan gula yang melampau ke negara jiran?.

Untuk maklumat gula sekilo dijual Rupiah 5,300 bersamaan RM2.20 pada harga runcit di Indonesia. Sedangkan harga jualan borong di pelabuhan sekitar RM1.65 sekilo. Bayangkan urusan perdagangan ini boleh meraih 55 sen untung sekilo yang diagihkan antara pengeksport di Malaysia, pengimport di Indonesia, pemborong dan peruncit di negara jiran.

Itulah sebabnya pengilang gula tempatan lebih rela menjual gula ke luar negara kerana harga belian di kilang sahaja sudah jauh lebih menguntungkan dari harga jualan runcit kepada pengguna yang berharga RM1.45. Apakah mereka merasakan tidak bersalah menjalankan kegiatan perniagaan sebegitu sedangkan mereka diberikan subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli kerana kerajaan menjangkakan hasil tindakan kerajaan itu boleh mengawal dan memberi kelegaan kos pengeluaran kepada pekilang gula demi kebaikan rakyat supaya tidak dibebankan dengan harga runcit yang tinggi.

Tidakkah kementerian tahu hal sebegini?. Jika tahu menggapa tidak diambil tindakan kepada pekilang gula?. Apakah kementerian takut dengan boikot dan ugutan pekilang gula yang mendakwa harga gula tidak berubah sejak 10 tahun?. Sedangkan selama 10 tahun itu juga pekilang telah mendapat faedah hasil dari semakan kadar dan insentif subsidi, galakan pekilang dan taraf monopoli yang memihak kepada pekilang.

Kerajaan sepatutnya mengambil tindakan yang drastik untuk "mengajar" kilang-kilang gula ini supaya lebih berhati perut dan lebih bersemangat patiotik. Apakah susah sangat untuk mengawal hanya 4 buah kilang gula di seluruh negara?.

Dicadangkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan seperti berikut :-
1. Mengambil alih kesemua syarikat kilang gula untuk menjadikan kerajaan sebagai pemegang saham utama dan berhak memegang kuasa eksekutif.

2. Mewujudkan kilang gula milik penuh kerajaan. Masalah bekalan tidak menjadi masalah kerana terdapat beberapa ladang tebu di Perlis dan Kedah adalah milik agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan negeri.

3. Mengenakan tindakan undang-undang kepada kilang gula kerana lebih mementingkan keuntungan jualan ke luar negara dan "menganak tirikan" pengguna tempatan.

4. Mengenakan tindakan yang tegas dan keras kepada pemborong yang menyorok gula dengan harapan harga gula akan naik satu masa nanti. Mereka tahu barang keperluan ini boleh bertahan lama walaupun di simpan kerana tidak mudah busuk.

Sekali sekala kerajaan kena "tunjukkan taring" dan keluarkan arahan ala "kuku besi" sebagai pengajaran kepada pekilang gula yang sehingga kini masih bersikap membisu walaupun telah beberapa kali ditegur dan didesak oleh kementerian dan persatuan pengguna supaya memberikan kenyataan rasmi kepada rakyat mengapa sukar mendapatkan gula di pasaran sekarang.

Jaminan menteri berkenaan diibaratkan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kerana hakikatnya gula masih kurang di pasaran. Malah di beberapa tempat seperti Tampin, Alor Gajah, Senawang dan Mantin masih lagi berlaku senario papan tanda "gula habis" ditampal di kedai runcit.

Harapan rakyat, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih drastik untuk melindungi berpuluh juta pengguna gula diseluruh negara daripada melindungi kepentingan 4 buah kilang gula sahaja. Tentulah tidak adil untuk memberi keutamaan kepada minoriti sedangkan majoriti tersepit begitu sahaja.

Beri benda supaya sokong Islam bukan rasuah


Mon Sep 25, 06 11:35:12 AM
Oleh Harakahdaily
MARANG, 25 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli dan penyokong supaya dapat membezakan pemberian dengan sesuatu yang dikatakan rasuah.

Menurutnya, sesuatu pemberian untuk mengajak manusia supaya menyokong perjuangan Islam tidak dinamakan rasuah.

Ini, katanya kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan harta benda untuk menarik masyarakat kepada Islam dan perjuangan Islam.

Tegasnya, PAS juga memberikan kebendaan kepada orang supaya mereka bersama-sama dengan perjuangan Islam kerana ianya termasuk dalam sabilillah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau berkata, Islam memberikan penekanan dalam kerja-kerja kebajikan kerana ianya merupakan salah satu cara untuk mengembangkan agama Allah.

Katanya, kerja-kerja kebajikan merupakan tarikan untuk mengajak manusia supaya cinta kepada Islam.

Ini, ujarnya bukan sahaja kepada orang Islam yang wajib diberikan pertolongan tetapi termasuk di kalangan bukan Islam yang perlu dijinakkan hati mereka atau dikenali sebagai muallaf iaitu yang baru memeluk Islam.

"Perkembangan agama Islam di zaman Rasulullah bukan sahaja melalui dakwah, melalui ucapan yang dibaca tafsir ayat al-Quran hadis-hadis nabi dan hujah-hujah yang kuat termasuk melalui harta benda, menarik orang kepada Islam dan perjuangan Islam ini adalah kerja kebajikan," katanya.- mr