Tuesday, October 03, 2006

Beri benda supaya sokong Islam bukan rasuah


Mon Sep 25, 06 11:35:12 AM
Oleh Harakahdaily
MARANG, 25 Sept (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli dan penyokong supaya dapat membezakan pemberian dengan sesuatu yang dikatakan rasuah.

Menurutnya, sesuatu pemberian untuk mengajak manusia supaya menyokong perjuangan Islam tidak dinamakan rasuah.

Ini, katanya kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan harta benda untuk menarik masyarakat kepada Islam dan perjuangan Islam.

Tegasnya, PAS juga memberikan kebendaan kepada orang supaya mereka bersama-sama dengan perjuangan Islam kerana ianya termasuk dalam sabilillah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau berkata, Islam memberikan penekanan dalam kerja-kerja kebajikan kerana ianya merupakan salah satu cara untuk mengembangkan agama Allah.

Katanya, kerja-kerja kebajikan merupakan tarikan untuk mengajak manusia supaya cinta kepada Islam.

Ini, ujarnya bukan sahaja kepada orang Islam yang wajib diberikan pertolongan tetapi termasuk di kalangan bukan Islam yang perlu dijinakkan hati mereka atau dikenali sebagai muallaf iaitu yang baru memeluk Islam.

"Perkembangan agama Islam di zaman Rasulullah bukan sahaja melalui dakwah, melalui ucapan yang dibaca tafsir ayat al-Quran hadis-hadis nabi dan hujah-hujah yang kuat termasuk melalui harta benda, menarik orang kepada Islam dan perjuangan Islam ini adalah kerja kebajikan," katanya.- mr

No comments: