Tuesday, October 03, 2006

Hamas-Hizbullah pecah tembok mazhab

Wed Sep 27, 06 09:18:25 AM
Oleh Mohd Rashidi Hassan
BARU-BARU ini Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ditemani Ustaz Idris Ahmad dan Dtao' Dr Mahfudz Mohamed berkunjung ke Iran, Syria dan Lubnan. Mereka mewakili PAS untuk menghadiri persidangan Taqrib di Iran, melawat dan menemui pemimpin Hizbullah di Lubnan serta bertemu dengan pemimpin Hamas di Syria. Ikuti temubual Tuan Guru Abdul Hadi dengan Mohd Rashidi Hassan di pejabatnya di Kuala Lumpur, 13 September.

HARAKAH: Boleh Tuan Guru maklumkan tentang lawatan ke Iran, Syria dan Lubnan baru-baru ini?
TUAN GURU ABD HADI: Di Iran menghadiri Muktamar Majma' Taqrib yang diadakan setiap tahun. Tahun ini bertemakan 'Kedudukan Umat Islam di Negara-negara Bukan Islam; Permasalahan, Penyelesaian dan Kewajipan. Muktamar dihadiri wakil-wakil pemimpin Islam sedunia dari benua Asia, Eropah, Australia, Afrika sehingga Amerika Utara dan Amerika Latin. Jumlahnya ratusan orang.

Saya berada tiga hari di Tehran, muktamar dirasmikan Menteri Negara, juga ada program khusus dengan Imam Khamenei. Beliau bercakap mengenai isu Lubnan dan Palestin, termasuk soal Iraq, Afghanistan dan saranan untuk berdepan Amerika Syarikat.

Ucapan Tuan Guru dalam perhimpunan itu?
Saya berucap menyentuh tema yang ditetapkan. Saya menegaskan umat Islam di negara bukan Islam saja berdepan masalah yang mesti diselesaikan. Dalam masa sama mereka mesti menyampaikan mesej dakwah. Sebagaimana orang Islam di zaman dahulu, contohnya di Asia Tenggara, mereka datang ke wilayah bukan Islam, datang untuk berniaga dan menyampaikan seruan Islam. Matlamatnya ialah dakwah yang berjaya mengislamkan sebahagian besar Asia Tenggara. Seperti juga di Bosnia mengikut sejarahnya dan beberapa negara di Benua Afrika.

Penegasan Tuan Guru?
Saya tegaskan, umat Islam patut melaksanakan kewajipan tersebut. Saya melihat mereka (di negara bukan Islam) ini masih ada ruh hubungan yang erat dengan Islam, semangat dan amalan-amalan Islam masih lagi dipertahankan, bahkan dalam isu-isu antarabangsa yang berkaitan orang Islam seperti isu Palestin dan Lubnan. Umat Islam bangkit di negara bukan Islam dan menganjurkan demonstrasi. Mereka berani turun ke padang dan berjaya menarik orang bukan Islam menyertai demo.

Apakah ini suatu kejayaan?
Ya, ini suatu kejayaan yang besar dari segi politik, tetapi seboleh-bolehnya dari segi dakwahnya juga mesti diberi penekanan.

Apa peranan OIC dan NGO Islam boleh buat untuk capai matlamat itu?
Sepatutnya organisasi Islam sama ada berbentuk politik seperti OIC ataupun NGO Islam di peringkat antarabangsa perlu diselaraskan. Membantu menyelaraskan kegiatan pertubuhan Islam dan pusat-pusat Islam di negara bukan Islam.

Ada resolusi?
Banyak. Alhamdulillah beberapa cadangan yang saya sebutkan tadi dimasukkan dalam resolusi.

Bagaimana pula lawatan ke Lubnan?
Saya berada di Lubnan selama tiga hari. Hari pertama melawat tempat-tempat mangsa serangan di selatan Beirut. Dan sebelah petangnya menjadi tetamu kepada Tajammuk Ulama Lubnan, ia merupakan gabungan ulama Sunni dan Syiah.

Pada hari kedua saya melawat tempat-tempat lain yang mengalami kemusnahan di Beirut. Saya dijemput berkhutbah di sebuah masjid Kulliyyah Dakwah di Beirut, kemudiannya ditemuramah TV al-Manar selama satu jam. Saya juga mengadakan pertemuan dengan Sheikh Faisal Malawi, Setiausaha Agung Jamaah Islamiah atau Ikhwan Muslimin Lubnan.

Apa yang Tuan Guru sebutkan dalam temuramah al-Manar?
Saya menyebut bahawa kedatangan saya ke Lubnan untuk mengucapkan tahniah kepada kejayaan Hizbullah dan menyatakan simpati kita. Masalah Palestin dan Lubnan adalah masalah yang tidak boleh dipisahkan dari umat Islam seluruh dunia.

Saya menyebut adalah mustahil dan tidak boleh diterima akal, Israel menyerang begitu rakus hanya kerana seorang tawanan di Gaza dan dua di selatan Lubnan sehingga sanggup mengorban jumlah yang begitu besar tenteranya (Israel), ramai yang cedera dan kerugian yang begitu banyak sehingga berbilion USD (di Israel). Pada saya mesti mereka mempunyai matlamat yang lebih besar dan Hizbullah berjaya menyekat matlamat mereka itu.

Tuan Guru ada sentuh tentang Hamas dan Hizbullah?
Saya menyatakan adanya hubungan antara Hizbullah dengan Hamas dan rakan-rakan di Palestin - bila seluruh negara Arab dan negara umat Islam mengecewakan kerajaan Hamas di Palestin, setelah mereka terkepung begitu lama, dan Hizbullah bertindak - menandakan bahawa tidak ada perbezaan mazhab antara Sunni dan Syiah dalam menghadapi isu ini. Ini menjadi arah kepada titik perpaduan di kalangan Sunni dan Syiah.

Ada lagi pertemuan lain?
Saya juga berjumpa Mufti Lubnan, Dr Kabbani dan Ayatollah Mohd Hussain Fadhullah, kemimpin tertinggi Syiah di Lubnan, kemudian saya berjumpa Sheikh Mohd Naim Qasim, timbalan Sheikh Hassan Nasrallah. Sheikh Hassan atas sebab-sebab keselamatan tidak boleh keluar dari tempatnya dan kita pun tidak boleh pergi ke tempat itu.

Jumpa Sheikh Naim di mana?
Kami berjumpa Sheikh Naim di Beirut, beliau datang ke Beirut dari luar dengan kawalan keselamatan yang amat ketat.

Apa yang beliau nyatakan?
Dia mengucapkan terima kasih dan menyampaikan salam Sheikh Hassan. Dia mengucapkan terima kasih kepada PAS dan rakyat Malaysia yang menunjukkan simpati dan sokongan.

Bagaimana lawatan di Syria?
Di Syria saya berjumpa dengan Khalid Mash'al, pengerusi politik Hamas. Beliau pemimpin tertinggi Hamas, kedudukannya sama dengan Sheikh Hassan Nasrallah.

Natijah peperangan yang berlaku?
Ia memecahkan kesunyian isu Palestin, akibat dikongkong negara-negara Arab yang dibelenggu Amerika dan kuasa-kuasa Barat yang berpihak kepada Israel. Dalam interbiu dengan al-Manar saya kata, saya berasa malu dan sedih kerana persidangan Menteri Luar Arab yang diadakan di Beirut mendapat kebenaran terlebih dahulu Israel. Kapal terbang hendak mendarat dan sebagainya, semuanya mendapat kebenaran Israel.

Rancangan PAS selepas ini?
Kita menunggu maklumat berikutnya daripada gerakan Islam di Lubnan sama ada Jamaah Islamiah, Tajammuk Ulama dan Hizbullah, kita akan terus menyampaikan segala bantuan mengikut kemampuan.

Kita juga akan terus berusaha memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia, supaya tidak dikelirukan media Barat. Wallahua'lam.

No comments: